[PERSPEKTIF] SAYA BUKAN BADUT – PODOLSKI

Lukas-Podolski-score-against-AnderlechtPenyerang Arsenal, Lukas Podolski melahirkan rasa tidak gembiranya lantaran sekadar berada di bangku simpanan sementara menunggu kontraknya berakhir. Penyerang antarabangsa Jerman berusia 29 tahun itu menyertai Arsenal pada jendela perpindahan musim panas 2012 dari kelab Bundesliga, FC Koln dengan yuran perpindahan sebanyak £11 juta bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robin van Persie yang berhijrah ke Manchester United.

Podolski menampilkan aksi yang memberansangkan pada musim pertama bersama The Gunners dengan menjaringkan 16 gol dalam 42 perlawanan. Namun, faktor kecederaan menyaksikan pemain berusia 29 tahun itu hanya beraksi dalam 27 perlawanan dengan meledak 12 gol musim lalu. Namun musim ini, Podolski hanya tampil 6 kali sebagai pemain gantian meskipun penyerang antarabangsa Jerman cukup cergas untuk beraksi dalam kesebelasan utama The Gunners.

Terdahulu, Lukas Podolski melahirkan kekecewaan lantaran jarang diturunkan oleh Arsene Wenger. Bekas penyerang FC Koln dan Bayern Munich itu merupakan sebahagian daripada skuad Jerman yang menjulang Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil Julai lalu. Meskipun kontraknya bakal berakhir pada musim panas 2016 namun Podolski mengakui masa depannya di Arsenal sudahpun berakhir.

“Saya sukakan London. Saya sukakan kelab ini tetapi saya tidak suka dengan situasi saya ketika ini,” kata Podolski menerusi Kicker baru-baru ini.

“Saya bukannya badut di mana hanya menunggu (di bangku simpanan) sehingga kontrak saya tamat. Saya perlu bercakap dengan Arsene Wenger. Saya mahu peluang yang adil.”

“Berikan peluang untuk saya bermain. Dan jika saya bermain 10 perlawanan namun tidak berjaya meyakinkan (Wenger). Saya rela diletakkan dalam senarai menunggu kembali,” kata penyerang berusia 29 tahun itu lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply