[ARTIKEL] SEJARAH PUMA : PERSENGKETAAN DASSLER BERSAUDARA

puma-974521Tanggal 1 Julai 2014, Arsenal FC telah memetrai perjanjian jangkamasa panjang selama 5 tahun bersama pembekal barangan sukan yang berpangkalan di Jerman, PUMA dengan nilai kontrak keseluruhan berjumlah £30 juta untuk penajaan jersi pasukan dan kit latihan serta produk cenderahati Arsenal. Perjanjian itu menamatkan kerjasama lebih 20 tahun bersama Nike. Berikut sedikit bingkisan mengenai sejarah penubuhan dan perkembangan PUMA.

Sejarah penubuhan PUMA bermula dari permusuhan dua bersaudara, Rudolf Dassler dan Adolf  ‘Adi’ Dassler yang menubuhkan Gebrüder Dassler Schuhfabrik (Kilang Kasut Dassler Bersaudara) pada tahun 1924 di Herzogenaurach, Bavaria. Namun, selepas rentetan siri perbalahan dua beradik Dassler ini menyaksikan Rudolf berpisah dengan adiknya, Adolf menubuhkan kilang barunya di pinggir Sungai Aurach pada tahun 1948.

Kilang tersebut pada mulanya diberi nama RUDA (singkatan daripada Rudolf dan Dassler) namun akhirnya memilih penjenamaan yang lebih komersial, PUMA (Puma Schuhfabrik Rudolf Dassler). Sementara itu, Adolf ‘Adi’ Dassler pula menubuhkan kilangnya yang diberi nama ‘Adidas’ (singkatan namanya Adi dan nama keluarganya Dassler) terletak dipinggir sebelah utara Sungai Aurach, bertentangan dengan kilang milik abangnya, Rudolf Dassler.

Berkat komitmen dan kerja keras Rudolf Dassler, ramai altet olahraga dan pemain bola sepak mula menjadikan PUMA sebagai pilihan mereka. Pada Piala Dunia 1950, Rudolf melancarkan but bola sepak pertamanya, ‘ATOM’ yang telah dipakai oleh sebahagian daripada skuad Piala Dunia Jerman Barat. Namun sebelum berlangsungnya Piala Dunia 1954, Rudolf telah berselisih faham dengan jurulatih pasukan Jerman Barat dan ini telah membuka ruang kepada Adidas menjadi penaja utama pasukan bola Sepak Jerman Barat.

Pada tahun 1959, Rudolf telah melakukan transformasi yang menjadikan perusahaan PUMA Sportschuhfabriken Rudolf Dassler KG sebagai milikan bersama isteri dan dua anakya, Armin dan Gerd. PUMA tampil selaku pengeluar kasut sukan pertama yang melakukan inovasi menggunakan teknik menghasilkan but bola sepak yang mengunakan teknologi vulkanisasi yang menyatukan bahagian atas dengan tapak kasut pada tahun 1960.

Permusuhan PUMA-Adidas ini cukup sinonim dalam industri barang sukan namun orang Jerman lebih cenderung memilih PUMA ada dasar patriotik terutama pada sekitar era 1960-an dan 1970-an. Pada tahun 1962, produk PUMA telah berjaya dieksport ke hampir 100 buah negara di seluruh dunia. Pada tahun 1968, PUMA juga merupakan pengeluar kasut sukan pertama yang menggunakan fabrik ‘Velcro fasteners’ yang memberikan lebih keselesaan dan mengurangkan risiko kecederaan di kalangan ahli sukan.

Lantaran itu, kasut sukan jenama PUMA mula menjadi pilihan ahli-ahli sukan terutama atlet olahraga. Pada tahun 1986, perusahaan milik keluarga Dassler ini kemudiannya menjadi syarikat awam dan disenaraikan dalam Pasaran Saham Börse München dan Frankfurt. Anak Rudolf Dassler, Armin dan Gerd pula telah menjual 72% saham mereka dalam PUMA kepada syarikat Switzerland, Cosa Liebermann SA pada Mei 1989.

PUMA berjaya mencatatkan keuntungan €1.274 juta pada tahun 2003 dengan memiliki lebih 9,500 orang pekerja di lebih 120 buah negara di seluruh dunia. Sejak Julai 2007, 62.1% saham PUMA telah dimiliki oleh syarikat Perancis, Pinault-Printemps-Redoute (PPR) yang merupakan pemiliki jenama GUCCI dan menukar nama syarikat dari Puma AG Rudolf Dassler Sport kepada PUMA SE.

Pada Kejohanan Olahraga Dunia 2009 di Berlin, Usain Bolt yang memakai kasut sukan PUMA telah berjaya muncul sebagai manusia terpantas di dunia dengan mencatatkan rekod 9.58 saat bagi acara balapan 100m. Kejayaan jaguh pecut Jamaica yang juga merupakan duta PUMA telah menaikan imej pembekal barangan sukan yang berpangkalan di Jerman ini dengan turut memegang rekod acara pecut 100m dan 200m di Sukan Olimpik.

puma-headquartersPUMA pernah menjadi pilihan ramai lagenda-lagenda bola sepak dunia termasuk Pele (Brazil), Eusebio (Portugal), Lothar Matthäus (Jerman), Diego Maradona (Argentina) dan Johan Cruyff (Belanda). Selain itu, jenama PUMA turut dipakai oleh Heinz Fütterer (olahraga), Borris Becker (tenis), Martina Navratilova (tenis), Johhny Damon (besbol), Guillermo Vilas (tenis), Erica Blasberg (golf) dan Serena Williams (tenis).

Kini, beberapa pemain bola sepak terkenal dunia termasuk Sergio Aguero, Cesc Fabregas, Mario Balotelli, Radamel Falcao, Olivier Giroud, Santi Cazorla dan Yaya Toure berada di bawah tajaan PUMA. Selain Arsenal, PUMA turut menjadi menaja beberapa kelab-kelab utama Eropah termasuk Borussia Dortmund, Rangers, Newcastle United, Dynamo Zagreb dan Red Star Belgrade selain Arsenal.

Incoming search terms:

  • sejarah puma
This entry was posted in Artikel and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply