[LIGA MALAYSIA] PAHANG MUNCUL JUARA PIALA FA 2014

Pahang berjaya merangkul Piala FA buat kali kedua selepas tahun 2006 selepas menundukkan Felda United 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, semalam sekaligus meleburkan hasrat Felda United untuk mencipta sejarah meraih trofi ini buat julung kali. Kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian selama lapan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu untuk membawa pulang Piala FA ke bumi Pahang.

Pahang yang dilabel pasukan pilihan bermula hambar namun berjaya mendapat rentak apabila penyerang import, Dickson Nwakaeme menguji kekebalan gawang The Fighter yang dikawal oleh Farizal Harun namun percubaanya pada minit ke-5 sedikit tersassar. Giliran bintang Argentina, Matias Conti terlepas peluang apabila gagal menyambut hantaran R. Gopinathan pada minit ke-16.

Ketika Tok Gajah ghairah memburu gol pembukaan namun Felda United berjaya mencuri tumpuan menerusi penyerang import Liberia, Edward Wilson Junior yang bijak meloloskan diri menerusi gerakan 1-2 dengan Indra Putra Mahyudin untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Md. Khairul Azhan Khalid pada minit ke-22. Mendahului 1-0, The Fighter memperlahankan rentak permainan dengan lebih banyak bertahan di kawasan sendiri.

Bersambung di babak kedua, Felda United nyaris mengandakan jaringan pada minit ke-49 namun percubaan Edward Junior Wilson terkena tiang sebelum dikeluarkan oleh kapten Pahang, Mohd. Razman Roslan. Pahang pula hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Conti tetapi penjaga gol Felda, Farizal tenang menyelamatkan keadaan pada minit ke-52.

Namun, pencaturan Zainal Abidin memasukan Mohd Faizol Hussien dan Zeshan Rehman akhirnya membuahkan hasil. Faizol Hussien yang tidak dikawal berjaya melepaskan satu rembatan kencang kaki kiri untuk menewaskan Farizal Harun pada minit ke-80. Gol kemenangan Pahang pula disumbangkan oleh Dickson Nwakaeme pada minit ke-88 selepas mudah menolak masuk hantaran Zeshan Rehman. Kejayaan itu menyaksikan Pahang layak beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan.

SENARAI PEMAIN

PAHANG XI : Md. Khairul Azhan Khalid, Mohd Saiful Nizam Miswan, Damion Delano Stewart, Mohd Razman Roslan (kapten), Mohd Shahrizan Mohd Salleh, Mohd Hafiz Kamal, R. Gopinathan, Azidan Sarudin (Mohd Faisol Hussein), Matias Ruben Conti (Zeshan Rehman), Azamuddin Mohd Akil (Mohd Fauzi Rozlan), Dickson Nwakaeme

FELDA UNITED FC XI : Mohd Farizal Harun, Yarozlav Krushelnitskiy, Hasni Zaidi Jamian, Muhammad Shukor Adan (kapten), Mohd Aizulridzwan Razali, Mohd Khairul Ismail (Mohd Nashriq Baharom), Zah Rahan Krangar, Ahmad Syamim Yahya (Mohd HarisSafwan Mohd Kamal), Mohd Raimi Mohd Noor (Shahrulnizam Mustapa), Indra Putra Mahayuddin, Edward Junior Wilson.

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply