[LIGA MALAYSIA] KEJUARAAN LIGA PERDANA 2014 MILIK PDRM

PDRM-juara-Liga-Perdana-2014Meskipun PDRM sudah mengesahkan kejuaraan Liga Perdana 2014 minggu lalu namun pesta The Cops sedikit tercalar selepas tewas tipis 2-3 kepada Kedah dalam aksi terakhir liga di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam. Untuk rekod, ini merupakan kejayaan Liga Perdana kedua buat PDRM selepas menjulangnya buat kali pertama pada tahun 2007 ketika di bawah kendalian K. Thayanathan.

Dalam perlawanan semalam, skuad Helang Merah bermula cemerlang selepas mendahului 3-0 hasil jaringan Mohd Syazwan Zainon pada minit ke-43; Namkung Woong (55′) dan Billy Mehmet Osman (58) sebelum penyerang import dari Maldives, Ashfaq Ali dan pemain gantian, Mohd Fauzi Abd Majid merapatkan defisit jaringan, masing-masing pada minit ke-59 dan 77.

Selaku juara, PDRM meraih wang tunai RM300,000 serta Piala Liga Perdana yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada kapten pasukan Mohd Muslim Ahmad. Pengendali The Cops, Dollah Salleh nyata gembira dengan pencapaian anak buahnya yang berjaya mendominasi saingan Liga Perdana musim ini.

Dollah-Salleh-jurulatih-PDRM“Pada separuh masa pertama, kami bermain sambil lewa dan agak leka sikit. Selepas ketinggalan 3-0 baru nampak permainan sebenar yang kami tunjukkan,” kata Dollah Salleh kepada media.

“Bagaimanapun ia tetap ada sedikit kekecewaan. Kami mahukan kemenangan pada aksi penutup, malangnya kita tidak dapat lakukan. Pada pusingan pertama dahulu, PDRM bermain begitu baik, namun pada pusingan kedua pasukan lawan tidak mamandang mudah kepada kami sebab itu kami agak sukar sikit.”

“Tetapi dengan semangat juang yang ditunjukkan kami dapat juga mengekalkan kedudukan ditangga teratas,” kata jurulatih PDRM itu lagi.

Kejayaan ini turut menyaksikan PDRM bakal beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan bersama-sama satu lagi wakil kelab, Felda United yang menduduki tempat kedua saingan Liga Perdana musim ini. Pulau Pinang pula menempah slot ke Piala Malaysia yang dijadual berlangsung Oktober ini walaupun terikat 2-2 ketika berdepan SPA Putrajaya FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Sementara itu, PBAPP FC dan Perlis pula bakal beraksi dalam saingan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim depan selepas menduduki tangga ke-11 dan 12 Liga Perdana musim ini. Juara Liga FAM, Kuantan FA pula dinaikkan ke Liga Perdana musim depan manakala wakil kelab Pahang, Shahzan Muda dan Kuala Lumpur akan merebut satu lagi slot ke Liga Perdana 2015 menerusi perlawanan terakhir Liga FAM, Rabu ini.

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply