[BERITA] DOLLAH SALLEH DILANTIK JURULATIH HARIMAU MALAYA

Dollah-Salleh-jurulatih-PDRMKetua jurulatih Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dollah Salleh sah dilantik sebagai pengendali baru skuad Harimau Malaya untuk tempoh dua tahun. Pengumuman perlantikan jurulatih berusia 50 tahun itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah. Pelantikan Dollah Salleh itu mendapat persetujuan sebulat suara anggota exco FAM berbanding dua lagi calon asing, berdasarkan rekod cemerlangnya membantu beberapa pasukan tempatan meraih pelbagai kejuaraan.

“Jawatankuasa FAM bersetuju memberi peluang kepada jurulatih tempatan lebih-lebih lagi skuad negara akan menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura dan Vietnam pada November ini. Kita akan minta Dollah mengemukakan barisan kejurulatihan bagi memudahkannya mengendalikan skuad kebangsaan,” kata Datuk Seri Afandi di Kelana Jaya semalam.

Sebelum ini, FAM turut menyenaraikan dua jurulatih asing kelahiran Jerman, Gert Engels dan Wolfgang Sidka sebagai antara tiga calon akhir bagi jawatan itu yang kosong sejak 31 Disember lepas susulan kontrak Datuk K. Rajagobal tidak diperbaharui. Ketika ditanya mengenai kontrak Dollah dengan PDRM yang hanya tamat November ini, Afandi berkata pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan pengurusan pasukan juara Liga Perdana 2014 itu.

“Kita berharap dapat menyelesaikan baki kontrak antara PDRM dengan Dollah dalam masa terdekat. Dollah sudah dimaklumkan mengenai pelantikan beliau,” katanya.

Dollah Salleh merupakan antara jurulatih paling berjaya dalam Liga Malaysia termasuk membantu pasukan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) selaku pasukan kelab pertama muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2003 dan Liga Perdana pada tahun 2004 selain membawa Selangor meraih kejuaraan trebel – Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana pada tahun 2005. Musim lalu, Dollah Salleh berjaya membimbing Pahang menjulang Piala Malaysia.

Sementara itu, presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman. Dalam masa yang sama, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya sudah mengatur empat aksi ‘pemanas badan’ untuk skuad Harimau Malaya sebelum menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014. Perlawanan itu ialah menentang Tajikistan pada 6 Ogos; Singapura (6 September); Jordan (11 Oktober) dan satu lagi negara yang belum ditentukan pada 18 November.

This entry was posted in Berita and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply