[SEJARAH] 1979 – PERLAWANAN AKHIR 5 MINIT MILIK ARSENAL

Pat-Rice-julang-Piala-FA-1971Tanggal 12 Mei 1979 menjadi detik bermakna dalam sejarah kelab Arsenal apabila berjaya menjulang kejuaraan pertama selepas 8 musim dalam perlawanan yang digelar ‘The Five Minute Final’. Dalam perlawanan akhir Piala FA tersebut, Arsenal yang dibimbing oleh Terry Neil telah berjaya menewaskan Manchester United 3-2 di Stadium Wembley, London disaksikan lebih 99,000 penonton.

Perlawanan akhir Piala FA tersebut digelar ‘The Five Minute Final’ lantaran berlangsung sengit dan penuh dramatik di mana kemenangan terpaksa ditentukan dalam tempoh 5 minit terakhir perlawanan. Kejuaraan tersebut merupakan trofi Piala FA yang ke-5 diraih oleh The Gunners sejak kali pertama menjulang kejohanan bola sepak tertua di dunia itu pada tahun 1930.

Skuad bimbingan Terry Neil ketika itu dibarisi oleh pemain-pemain tongak termasuk Pat Jennings, Liam Brady, David O’Leary, Sammy Nelson, Brian Talbot, Alan Sunderland, David Price selain kapten pasukan, Pat Rice. The Gunners bermula garang dengan mendahulu 2-0 apabila Brian Talbot meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-12 sebelum Frank Slapleton mengandakan jaringan untuk Arsenal pada minit ke-42.

Namun, skuad bimbingan Dave Sexton yang dibarisi oleh  Sammy McIlroy, Martin Buchan, Lou Macari, Gary Bailey, Arthur Albiston, Steve Coppell tidak mudah mengalah apabila mengasak ke kubu Arsenal untuk mencari gol penyamaan. Kesungguhan The Red Devils membuahkan hasil apabila Gordon McQueen dan Sammy McIlroy berjaya menjaringkan gol pada minit ke-86 dan 88.

Namun, Arsenal berjaya meledak gol kemenangan pada minit ke-89. Bermula dari gerakan Liam Brady dari sebelah kiri yang bijak mencipta satu hantaran silang pantas disambar oleh Alan Sunderland sekaligus menghadirkan kejuaraan Piala FA ke-5 dalam sejarah The Gunners. Kejayaan itu pastinya terpahat dalam sanubari penyokong-penyokong Arsenal selepas berakhirnya penantian 8 musim tanpa kejuaraan sejak kali terakhir pada tahun 1971.

This entry was posted in Sejarah and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply