[PIALA FA] ARSENAL TEWASKAN HULL CITY DI PENTAS AKHIR

Arsenal-FA-Cup-2014-pitch-celebrationKemarau kejuaraan Arsenal sejak 9 tahun yang lalu berakhir selepas berjaya menjulang kejuaraan Piala FA 2013/14 selepas menewaskan Hull City dalam perlawanan akhir di Stadium Wembley. Meskipun ketinggalan 2 gol pada 10 minit pertama perlawanan namun Santi Cazorla dan Laurent Koscielny berjaya mengikat kedudukan sebelum Aaron Ramsey muncul wira dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-109 masa tambahan.

Skuad bimbingan Steve Bruce bermula garang dengan mengasak kubu The Gunners sebaik wisel dibunyikan. Usaha The Tigers berhasil apabila rembatan Tom Huddlestone membias James Chester lalu menerjah gawang Arsenal pada minit ke-4. Belum sempat Arsenal memperkemaskan benteng pertahanan, giliran Curtis Davies merobek gawang The Gunners susulan bola muntah hasil percubaan Alex Bruce pada minit ke-8.

Kapten Hull City, Alex Bruce nyaris menambah derita The Gunners menerusi tandukannya pada minit ke-13 namun berjaya dikeluarkan oleh Kieran Gibbs. Namun, Arsenal kembali menguasai permainan dengan mula mencipta gerak-gerak berbahaya ke kubu The Tigers. Kesilapan Alex Bruce menjatuhkan Santi Cazorla pada minit ke-16 menyaksikan pengadil perlawanan, Lee Probert menghadiahkan sepakan percuma kepada Arsenal.

Santi Cazorla yang mengambil sepakan percuma itu tenang meledak gol pertama Arsenal dari jarak 30 meter yang terus menerjah ke gawang Hull City. Gol tersebut berjaya meniup semangat melawan Arsenal untuk memburu gol penyamaan. Percubaan Olivier Giroud dan Lukas Podolski pada minit ke-27 turut gagal membuahkan hasil apabila dihalang oleh pertahanan Hull City.

Kedudukan 1-2 kekal hingga tamat separuh masa pertama. Bersambung babak kedua, Arsenal terus mengandakan serangan ke kubu Hull City. Pada minit ke-48, hantaran silang Ozil gagal disambut kemas oleh rakan sepasukan meskipun peluang sudah terhidang. Tindakan Tom Huddlestone menjatuhkan Olivier Giroud di dalam kotak penalti pada minit ke-58 namun tidak diendahkan oleh pengadil perlawanan, Lee Probert.

Terdesak memburu gol, Arsene Wenger membawa masuk Yaya Sanogo mengantikan Lukas Podolski pada minit ke-61 bagi menambah sengat di barisan hadapan The Gunners. Arsenal sepatutnya memperoleh sepakan penalti pada minit ke-69 selepas Curtis Davies menjatuhkan Santi Cazorla dalam kotak penalti namun tidak dibenarkan oleh pengadil perlawanan, Lee Probert.

Usaha Arsenal memburu gol penyamaan berhasil apabila Koscielny mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam kabut dalam kotak penalti Hull City pada minit ke-72.  Arsenal terus melancarkan serangan bertubi-tubi ke gawang Hull City namun gagal membuahkan hasil. Pada minit ke-79, Kieran Gibbs mensia-siakan peluang keemasan untuk meledak gol kemenangan namun percubaan melewati palang meskipun gawang Hull City sudah ternganga.

Lee Probert sekali lagi menidakan sepakan penalti buat The Gunners selepas Santi Cazorla dijatuhkan dalam kotak penalti. Rembatan Olivier Giroud dari luar kotak penalti pada minit ke-82 pula diselamatkan penjaga gol Hull City, Alan McGregor manakala percubaan Yaya Sanogo pada minit ke-89 pula sedikit tersasar. Kedudukan 2-2 kekal hingga tamat 90 minit perlawanan sekaligus menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.

Sebaik perlawanan bersambung, Olivier Giroud nyaris merobek gawang The Tigers namun tandukannya sekadar mengegar palang pada minit ke-94 meskipun Alan McGregor. Percubaan Aaron Ramsey pada minit ke-98 pula sedikit tersasar di penjuru kanan gawang Hull City. Aaron Ramsey akhirnya muncul wira dengan menjaringkan gol pada minit ke-109 selepas menerima umpanan daripada Olivier Giroud.

Aaron-Ramsey-goal-vs-Hull-City-2014Kealpaan benteng pertahanan Arsenal nyaris mengundang padah namun percubaan Sone Aluko pada minit ke-115 sedikit tersasar. Tiga minit berselang, Sone Aluko sekali lagi hampir menjaringkan gol penyamaan buat Hull City namun rembatannya berjaya ditampan oleh Lukas Fabianski. Kedudukan 3-2 itu kekal hingga wisel penamat dibunyikan sekaligus menghadiahkan kejuaraan pertama buat The Gunners sejak kali terakhir pada 2005.

MAN OF THE MATCH : AARON RAMSEY

STATISTIK PERLAWANAN

match-statistics-Arsenal-vs-Hull-City-17-5-14

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply