[LADIES] RACHEL YANKEY TERIMA PINGAT OBE

Tonggak Arsenal Ladies, Rachel Yankey telah dianugerahkan pingat Officer of the Order of the British Empire (OBE) dalam majlis penganugerah di Istana Buckingham semalam. Pemain sayap kiri berusia 34 tahun itu berada dalam senarai penghargaan sempena Tahun Baru 2014. Ini merupakan penganugerahan kedua yang diterima oleh Yankey selepas menerima pingat Member of the Order of the British Empire (MBE) pada tahun 2005.

Rachel Yankey menerima pengiktirafan tersebut atas pencapaian cemerlangnya dalam arena bola sepak bersama Arsenal Ladies dan England. Pemain kelahiran London ini merupakan pemain yang memiliki caps paling banyak dalam The Three Lions dengan mengumpul 129 penampilan. Yankey juga banyak terlibat dalam aktiviti mempromosikan bola sepak kepada belia, mengendalikan program bola sepaknya sendiri dan terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan dalam memberi inspirasi kepada pemain-pemain muda.

“Ini merupakan anugerah yang istimewa bagi saya dan saya sangat berbangga dengan penganugerahan ini atas kerja keras saya dalam dan di luar padang,” kata Yankey kepada laman rasmi Arsenal.com.

“Saya telah terhutang budi dengan Arsenal atas segalanya sejak permulaan karier saya sebagai pemain dan jurulatih.”

“Saya telah menjadi sebahagian daripada pelatih komuniti Arsenal di mana kami sangat gembira dapat melatih kanak-kanak bermain bola sepak sejak kecil.

“Sebagai pemain Arsenal Ladies, saya sangat beruntung dapat bermain dengan pemain-pemain terbaik di negara ini dan mencipta sejarah bersama kelab ini,” kata pemain tengah berusia 34 tahun itu lagi.

Rachel Aba Yankey merupakan pemain berdarah campuran Ghana-Inggeris telah dilahirkan di London, England pada 1 November 1979. Pemain berketinggian 1.63 meter ini memulakan karier awal bersama Mill Hill United pada 1989 sebelum menyertai Arsenal Ladies pada 1996. Yankey pernah berkelana ke Laval Dynamites (2000), Fulham Ladies (2000-2004), Birmingham Ladies (2004-2005) dan New Jersey Wildcats (2005) sebelum kembali menyarung jersi Arsenal Ladies pada 2005.

Bersama Arsenal Ladies, Rachel Yankey telah menjulang 20 kejuaraan utama di Meadow Park, Borehamwood. Di samping itu, pemain sayap kiri berusia 34 tahun ini telah muncul selaku pemain yang paling banyak beraksi bersama The Three Lions dengan mengumpul 129 caps sejak mendapat debut pada Ogos 1997. Pencapaian Yankey itu mengatasi rekod milik penjaga gol lagenda, Peter Shilton yang meraih 125 caps bersama England.

This entry was posted in Arsenal Ladies and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply