[BADMINTON] PIALA THOMAS 2014 : JEPUN LEBUR EGO CHINA

Japan-beat-China-in-semi-final-Thomas-Cup-2014Jepun melakar sejarah yang tersendiri apabila mara ke perlawanan akhir Piala Thomas buat pertama kali dalam sejarah penyertaan negara ‘Matahari Terbit’ itu selepas menewaskan China 3-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Tertutup Siri Fort, New Dehli, hari ini. Kejayaan tersebut menamatkan dominasi China yang berjaya merangkul piala berprestij itu 5 kali berturut-turut sejak tahun 2004.

Negara ‘Tembok Besar’ itu tidak pernah mengalami kekalahan memalukan sejak kali terakhir tewas 1-3 kepada Malaysia pada tahun 2002 manakala ini merupakan penampilan pertama Jepun dalam perlawanan akhir Piala Thomas. Pencapaian terbaik Jepun pada kejohanan itu ialah layak ke separuh akhir pada edisi 2010 di Kuala Lumpur dan 2012 di Wuhan, China.

Mata pertama Jepun disumbangkan oleh pemain nombor empat dunia, Kenichi Tago yang mengenepikan cabaran pemain nombor dua dunia, Chen Long 21-13, 21-11 dalam pertarungan selama 43 minit. Kemenangan Tago itu menyuntik semangat pasukan Jepun apabila pasangan beregu nombor tiga dunia, Kenichi Hayakama-Hiroyuki Endo berjaya menewaskan Chai Biao-Hong Wei 22-20, 21-19 dalam masa 50 untuk mengukuhkan keadaan.

Mata kemenangan Jepun disumbangkan oleh pemain perseorangan nombor 14 dunia, Kento Momota yang mengejutkan pemain nombor enam dunia, Du Pengyu 23-25, 21-18, 21-14 dalam aksi penuh mendebarkan selama 85 minit. Juara dunia lima kali, Lin Dan hanya mampu duduk di tepi gelanggang tanpa dapat melakukan apa-apa sambil melihat pemain-pemain muda negaranya gagal menyerap tekanan beraksi sebagai pasukan pilihan.

“Menewaskan China bukan sesuatu yang terlalu istimewa. Namun jika kami berjaya merangkul kejuaraan Piala Thomas, pastinya lebih menggembirakan,” kata Kento Momota yang merupakan juara remaja dunia pada 2012.

“Pada saya, mengalahkan China bukan sesuatu yang mengejutkan. Kami memang meletakkan sasaran untuk menewaskan mereka dan layak ke perlawanan akhir. Jadi kami cuma memenuhi sasaran bukan melakukan perkara-perkara di luar jangkaan,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, pasukan wanita menyelamatkan maruah negara China apabila skuad Piala Uber mara ke pentas akhir selepas mengalahkan Korea Selatan 3-0 pada saingan separuh akhir.

KEPUTUSAN PERLAWANAN SEPARUH AKHIR PIALA THOMAS 2014

PERSEORANGAN PERTAMA

Kenichi Tago (JPN) vs Chen Long (CHN)– 21-13, 21-11

BEREGU PERTAMA

Kenichi Hayakama-Hiroyuki Endo (JPN) vs Chai Biao-Hong Wei (CHN) – 22-20, 21-19

PERSEORANGAN KEDUA

Kento Momota (JPN) vs Du Pengyu (CHN) – 23-25, 21-18, 21-14

This entry was posted in Badminton and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply