[ARTIKEL] TRAGEDI HEYSEL : EPISOD HITAM BOLA SEPAK INGGERIS

tragedy heysel memorialTanggal 29 Mei 1985, satu lagi episod hitam dalam sejarah bola sepak Inggeris. Tragedi runtuhan tembok di Stadium Heysel, Brussels ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah antara Liverpool dan Juventus yang telah meragut 39 nyawa serta mencederakan hampir 600 penyokong. Kesan daripada tragedi ini menyaksikan kelab-kelab Liga Inggeris telah dihalang daripada beraksi di pentas Eropah selama 5 tahun.

Tatkala penyokong pasukan Liverpool dan Juventus mula memenuhi tempat duduk Stadium Heysel kira-kira sejam sebelum sepak mula. Sudah menjadi kebiasaan ketika perlawanan akhir di mana bahagian stadium akan dibahagikan kepada dua bahagian untuk memisahkan penyokong kedua-dua pasukan. Penyokong Juventus di tempatkan di kawasan M, N dan O manakala tempat duduk penyokong Liverpool pula terletak di kawasan X, Y dan Z.

Namun sebahagian daripada bahagian Z turut menempatkan penyokong neutral. Kebanjiran ramai imigran Itali di Brussels menyaksikan kawasan tempat duduk neutral yang menyokong pasukan Juventus. Selain itu, sentimen anti-Liverpool di kalangan penyokong Itali turut memuncak selepas Liverpool menewaskan AS Roma dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim sebelumnya.

Lantaran itu, penyokong-penyokong Itali turut berharap Juventus dapat menewaskan Liverpool bagi memulih imej negara mereka yang tercalar ekoran kekalahan AS Roma itu. Penonton yang menyokong Juventus memulakan provokasi dengan melempar kata-kata seperti ‘Red Animals serta bertindak ganas dengan membaling botol bir, batu dan sebagainya ke atas penyokong The Reds.

Tindakan tersebut telah menyebabkan penyokong Liverpool naik minyak dan berang dengan provokasi penyokong Juventus. Mereka bangun dan menyerang kembali penyokong Juventus sekaligus mencetuskan suasana kelam-kabut menyaksikan penyokong bertempiaran lari ke bahagian hujung stadium. Lantaran terlalu ramai yang memberikan beban berlebihan di kawasan tersebut menyaksikan sebahagian struktur binaan stadium runtuh scara tiba-tiba.

Kejadian itu telah mengorbankan 39 nyawa di mana 32 orang daripadanya merupakan penyokong Juventus manakala hampir 600 orang telah tercedera. Meskipun berdepan tragedi berskala besar namun perlawanan tersebut tetap diteruskan hasil perbincangan antara Perdana Menteri Belgium, Datuk Bandar Brussels, pegawai UEFA, dan Ketua Polis Bandar Brussels. Jaringan penalti tunggal oleh Michel Platini pada minit ke-59 telah membantu Juventus meraih kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah tersebut.

Tragedi hitam di Stadium Heysel itu menyaksikan penyokong-penyokong Inggeris telah dipersalahkan sepenuhnya menyaksikan kelab-kelab Inggeris telah dihalang daripada beraksi dalam kejohanan Eropah oleh UEFA untuk tempoh 5 tahun manakala Liverpool turut digantung 6 tahun daripada beraksi di pentas Eropah. Hukuman berat itu bertujuan untuk menghalang kejadian keganasan bola sepak daripada berulang kembali.

Stadium Heysel kemudiannya dinaik taraf pada tahun 1995 dengan kos sebanyak €37 juta dan dinamakan semula sebagai Stadium King Baudouin bagi menutup episod hitam yang berlaku. Liverpool kemudiannya mempersembahkan tarian muzikal yang bertajuk ‘Amicizia’ yang bermaksud persahabatan bagi memulihan hubungan antara Liverpool-Juventus ketika perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah 2004/05.

Perlawanan tersebut meruakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan selepas 20 tahun tragedi hitam di Heysel itu. Pada 29 Mei 2005, sebuah tugu yang menelan kos pembinaan sebanyak £140,000 telah diumumkan di perkarangan stadium baru Heysel bagi memperingati tragedi tersebut. Meskipun begitu, masih terdapat penyokong-penyokong Juventus yang tidak dapat memaafkan kejadian yang berlaku di Stadium Heysel tersebut.

This entry was posted in Artikel and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply