[HOKI] PAUL REVINGTON SAH TINGGALKAN SKUAD NEGARA

paul-revington-world-best-coach-2011Meskipun saingan tahun 2014 belum bermula, Paul Revington sekali lagi menggemparkan sukan hoki tanah air apabila membuat keputusan meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan. Ini kali kedua warga Afrika Selatan itu membuat keputusan sedemikian selepas kali pertama berkrisis dengan bekas jurulatih skuad remaja, Muhammad Dharma Raj Abdullah pada tahun lalu. Berita peletakan jawatan Revington itu disahkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam.

Jurulatih kelahiran Afrika Selatan berusia 40 tahun itu mula membimbing skuad hoki negara mengantikan Tai Beng Hai sejak 22 Ogos 2012. Antara pencapaian Revington bersama skuad negara ialah berjaya melayakan diri ke Piala Dunia Hoki 2014 selain muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah 2013 dan tempat ke-4 Kejohanan Cabaran Juara-Juara 2012 di Argentina. Revington mengambil keputusan mengundur diri lantaran tidak mampu untuk memikul bebanan tugas mengendalikan skuad hoki negara.

“Walaupun saya telah berusaha namun amat sukar untuk saya melawan penyakit tekanan yang saya hadapi sejak Jun 2013, saya masih tidak dapat mencapai tahap maksimum saya dan itu telah menjejaskan kualiti kerja saya sehari-harian saya,” kata Revington semasa sidang media semalam.

“Seseorang yang mengalami masalah ini boleh mengatasinya dengan berehat untuk beberapa hari tetapi saya tidak dalam keadaan seperti itu.

“Saya perlu mengendalikan 45 orang yang memerlukan kepimpinan saya setiap hari dan ini tidak memberi saya peluang menikmati cuti banyak hari untuk pulih semula.”

paul-revington-and-arul-selvarajPada Julai tahun lalu, Revington membuat keputusan untuk meletakkan jawatan serta merta dengan alasan wujud campur tangan daripada Muhammad Dharma dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan. Bagaimanapun, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, Revington mengubah keputusannya dan bersetuju meneruskan tugas seperti biasa bersama skuad kebangsaan.

Skuad kebangsaan menghadapi jadual yang padat pada tahun ini dengan beberapa kejohanan penting perlu diharungi. Antara kejohanan penting tersebut ialah Piala Dunia 2014 di Belanda pada 31 Mei hingga 15 Jun ini yang akan mempengaruhi kedudukan rangking dunia skuad kebangsaan dan Sukan Asia 2014 di Korea Selatan pada September ini yang bakal menjadi medan memburu slot automatik ke Sukan Olimpik 2016.

This entry was posted in Hoki and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply