[LAGENDA] FRANK McLINTOCK – KAPTEN LAGENDA ARSENAL

Dia antara pemain yang paling berbakat yang pernah menyarung jersi The Gunners sebelum ketibaan Dennis Bergkamp, Thierry Henry mahupun Patrick Vieira. Semangat juang dan kualiti kepimpinannya menjadi modal terbesar buat Arsenal untuk mencipta kegemilangan. Itulah Frank McLintock, kapten lagenda Arsenal yang pernah meniti di bibir-bibir penyokong The Gunners suatu ketika dahulu.

Francis ‘Frank’ McLintock menyertai Arsenal dari Leicester City pada Oktober 1964 dengan yuran perpindahan sebanyak £80,000. Pemain kelahiran Glasgow, Scotland memulakan di Highbury sebagai pemain sayap ketika dibimbing Billy Wright. Frank McLintock mula menjadi kapten The Gunners di bawah kendalian Bertie Mee pada tahun 1967. Beliau berjaya membantu Arsenal mara ke perlawanan akhir Piala Liga pada tahun 1968 dan 1969 namun tewas kedua-duanya.

Kekalahan pada tahun 1969 itu menyebabkan Frank McLintock menyatakan hasrat untuk berundur atas rasa tanggungjawap namun dipertahankan oleh pengurusan Arsenal. Sementara itu, krisis kecederaan yang melanda skuad bimbingan Bertie Mee menyaksikan beliau  ditukar posisi ke pertahanan tengah. Berkat kesabaran, McLintock berjaya memimpin Arsenal menjulang Piala Inter-Cities Fairs pada tahun 1969/70 selepas menewaskan Anderlecht 4–3 secara aggregate.

Arsenal juara Piala Inter Cities Fair 1970Musim berikutnya, Frank McLintock terus membuktikan kepimpinannya dengan membantu Arsenal merangkul kejuaraan berganda, juara liga dan Piala FA. Kecemerlangan itu menyaksikan beliau telah dipilih selaku Pemain Bola Sepak Terbaik FWA pada tahun 1971. Arsenal sekali lagi berjaya mara ke perlawanan akhir Piala FA pada tahun 1972 namun tewas kepada Leeds United menerusi jaringan tunggal Alan Clarke pada minit ke-53.

Selepas 9 tahun bersama The Gunners, Frank McLintock akhirnya meninggalkan Highbury pada tahun 1973 dengan beraksi dalam 403 perlawanan dan menjaringkan 32 gol. Pemain kelahiran Scotland itu kemudianya berkelana ke Queens Park Rangers dengan melakukan 127 penampilan sebelum bersara pada tahun 1977. Meskipun pemain silih berganti, Frank McLintock terus kekal selaku kapten Arsenal paling berpengaruh di dalam dan di luar padang.

This entry was posted in Lagenda and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply