[LIGA MALAYSIA] PERAK AKHIRI PENANTIAN 62 TAHUN, JULANG PIALA AGONG

Perak julang Proton Piala Agong 2013Penantian 62 tahun Perak berakhir apabila muncul juara kejohanan bola sepak Proton Piala Agong 2013 selepas meranapkan impian juara 10 kali, Kelantan dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV semalam. Hasrat Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2011 selepas piala berkenaan tidak dipertandingkan tahun lalu berkecai.

Kejohanan Piala Agong dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (dahulunya dikenali Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung) dan mula diperkenalkan pada tahun 1962. Perlawanan akhir Proton Piala Agong 2013 antara Perak dan Kelantan berlangsung rancak disaksikan kira-kira 1000 penonton dengan Kelantan terlebih dahulu menguji gawang Perak yang dikawal oleh Amirul Azhan.

Kelantan hampir memperolehi gol pendahuluan selepas dihadiahkan sepakan percuma namun tendangan Fairul Afikin Sayuti sedikit tersasar meskipun Amirul Azhan sudahpun tertewas. Keghairahan Kelantan memburu gol bagaimanapun disentap selang dua minit kemudian, apabila Perak berjaya menjaringkan gol pertama selepas ledakan deras Ahmad Sukri daripada jarak 20 meter gagal diselamatkan Mohd. Sharizan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan terus mengandakan asakkan dan hampir memperoleh gol penyamaan pada minit ke-22, namun rembatan Adlee Aziz di dalam kotak penalti gagal menerjah gawang. Selang tiga minit kemudian Adlee sekali mencemaskan benteng pertahanan Perak namun tandukannya hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Khairuddin Ramli terkena palang.

Bersambung babak kedua, Kelantan yang terus terdesak memburu gol penyamaan memasukkan Fakrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dengan menggantikan Mohd Qayyum Marjono Sabil bagi menguatkan jentera serangan mereka pada minit ke-54. Tiga minit kemudian, tuan rumah sekali lagi kempunan untuk menyamakan kedudukan apabila tandukan Mohd. Khairul Akhyar tersasar di sebelah kanan gawang Perak setelah menerima hantaran silang pada Tengku Hasbullah.

Dalam usaha untuk merapatkan kedudukan, Kelantan melakukan dua pertukaran pada minit ke-62 dan 66 dengan memasukkan Mohd Raim Azmi dan Mohd. Rozaimi Azwar Mat Noor, namun benteng pertahanan Perak begitu kebal untuk ditembusi. Sebaliknya, Perak yang dilatih bekas pemain kebangsaan, Syamsol Saad langsung tidak tertekan dengan kemaraan pemain tuan rumah malah hampir menggandakan jaringan menerusi Khairul Asyraf pada minit ke-71 dan 75 namun gagal menepati sasaran.

Pemburuan tuan rumah untuk mendapatkan gol penyamaan menemui jalan buntu apabila sepak bebas yang dilakukan Fakrul Zaman melewati gawang gol Perak pada minit ke-86. Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Perak menjulang kejuaraan Piala Agong buat kali pertama dalam sejarah.

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply