[BULETIN] SZCZESNY TANDATANGANI KONTRAK JANGKA MASA PANJANG

Wojciech-Szczesny-happy-with-ArsenalArsenal mengesahkan bahawa Wojciech Szczesny telah menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Arsenal selepas mempamerkan aksi memberansangkan sejak beberapa musim lalu. Pemain antarabangsa Poland itu kini merupakan penjaga gol utama The Gunners. Penjaga gol berusia 23 tahun itu berjaya mengekalkan 4 rekod tanpa bolos dalam 6 perlawanan terakhir bersama Arsenal termasuk perlawanan menentang Liverpool, Borussia Dortmund dan Crystal Palace.

Wojciech Szczesny menyertai akademi Arsenal pada 2006 daripada kelab Poland, Legia Warsaw ketika berusia 15 tahun. Anak kelahiran Warsaw, Poland mula mendapat debut dalam saingan Piala Liga menentang West Bromwich Albion pada 22 September 2009. Sehingga kini, Szczesny sudah melakukan 121 penampilan bersama Arsenal. Penjaga gol berusia 23 tahun ini juga memiliki 16 caps antarabangsa bersama Poland. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger turut mengalu-alukan keputusan Szczesny itu.

“Kami sangat mengalu-alukan Wojciech (Szczesny) menandatangani kontrak jangka masa panjang. Saya percaya bahawa dia merupakan seorang pemain yang berbakat besar dengan aksi cemerlang dan kekuatan mental yang tinggi,” kata Wenger menerusi Arsenal.com.

“Dia (Szczesny) akan terus berkembang dan meningkat dari semasa ke semasa, jadi dia memiliki potensi yang sangat besar. Dia akan merupakan bahagian penting bagi Arsenal untuk beberapa musim akan datang.”

Arsene Wenger with Wojciech SzczesnySementara itu, Wojciech Szczesny turut gembira dengan keputusan menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Arsenal. Penjaga gol Poland berusia berusia 23 tahun itu mengakui bahawa Arsenal merupakan sebahagian daripada kehidupannya dan terus komited untuk terus berkhidmat di Stadium Emirates.

“Saya sangat gembira menandatangani kontrak baru. Arsenal merupakan sebahagian daripada keluarga saya dan saya sangat gembira untuk terus berada di sini untuk jangka masa panjang,” kata Szczesny baru-baru ini.

“Saya sudah berada di kelab ini lebih 7 tahun dan saya ingin mengambil peluang untuk berterima kasih kepada semua pihak atas sokongan yang diberikan kepada saya selama ini.”

“Ramai pihak yang memberi sokongan yang luar biasa sejak saya tiba ketika masih remaja, individu seperti Tony Robert banyak membantu pembangunan pemain-pemain muda seperti saya.”

“Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada pemain-pemain Arsenal dan akan terus memandang kehadapan untuk membantu kelab berjaya pada masa-masa akan datang,” kata penjaga gol muda Poland itu lagi.

This entry was posted in Buletin and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply