[CORETAN] UJIAN SEBENAR KEMAMPUAN ARSENAL MUSIM INI

Arsenal training session 2013-14Di sebalik prestasi memberansangkan namun skuad bimbingan Arsene Wenger belum berdepan ujian sebenar setakat ini. Meskipun Arsenal kini gah di persada Liga Perdana Inggeris dan mengungguli kumpulan F saingan Liga Juara-Juara Eropah ketika ini tetapi 6 perlawanan dalam 20 hari selepas ni bakal menentukan sejauh mana kemampuan sebenar The Gunners musim ini. Kejayaan dalam perlawanan ini bakal menentukan hala tuju Arsenal musim ini.

Arsene Wenger pastinya sedikit lega dengan kepulangan Santi Cazorla dan Yaya Sanogo sementara Mathieu Flamini yang mengalami kecederaan hujung minggu lalu disahkan tidak serius dan bakal kembali hujung minggu ini. Namun, Lukas Podolski, Theo Walcott dan Alex Oxlade-Chamberlain terus disisihkan sehingga pertengahan November nanti. The Gunners perlu mengekalkan momentum kemenangan dalam 6 perlawanan ini bagi meraihkan kejuaraan musim ini.

ARSENAL vs BORUSSIA DORTMUND – 22 Oktober 2013

Mesut-Ozil-vs-Borussia-Dortmund-2013The Gunners menanti kunjungan Dortmund di Stadium Emirates yang bakal menjadi ujian sebenar buat skuad bimbingan Arsene Wenger. Finalis Liga Juara-Juara Eropah musim lalu itu kini berada di prestasi terbaik yang mencatatkan deretan kemenangan demi kemenangan untuk berada di tempat kedua Bundesliga, satu mata di belakang Bayern Munich. Namun, kekalahan kepada Borussia Monchengladbach dan Napoli sedikit mencalarkan rekod cemerlang Dortmund.

Penguasaan bahagian tengah bakal menjadi penentu pasukan mana yang bakal memenangi perlawanan ini. Namun, Arsenal bakal berdepan kesukaran selepas Mathieu Flamini terpaksa disisihkan kerana mengalami kecederaan sekaligus membuka sedikit ruang buat Dortmund untuk mengucar-kacirkan pertahanan The Gunners. Dortmund dijangka akan mempertaruh Nurin Sahin dan Sven Bender untuk menyekat pergerakan Ozil yang merencana serangan Arsenal.

CRYSTAL PALACE vs ARSENAL – 26 Oktober 2013

Kunjungan Arsenal ke Selhurst Park dilihat satu tugas sukar bagi melebar penguasaan di persada liga. Walaupun Arsenal memiliki rekod yang cemerlang di tempat lawan serta menentang pasukan tercorot liga ketika ini namun faktor keletihan yang melanda pemain-pemain utama menjadi persoalan. Dengan rehat cuma empat hari, kelebihan ini bakal dimanfaat sepenuhya oleh The Eagles seperti yang berjaya dilakukan oleh West Brom 2 minggu lalu.

Kepulangan semula ‘Man of Steel’, Mathieu Flamini yang disisihkan daripada perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Dortmund bakal memberi tonik tambahan buat Arsenal. Namun, sedikit kealpaan dan kehilangan fokus bakal menjerat The Gunners terutama di benteng pertahanan. Skuad bimbingan Arsene Wenger pastinya akan berjuang habis-habisan untuk mengutip 3 mata berharga di tempat lawan.

ARSENAL vs CHELSEA – 29 Oktober 2013

Juan+Mata+vs+Arsenal+2012Perlawanan pusingan ke-4 Piala Capital One menentang Chelsea ini merupakan satu lagi tugas penting Arsenal dalam misi untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini sekaligus menamatkan kemarau kejuaraan sejak 8 musim yang lalu. Arsene Wenger dijangka akan merehatkan beberapa tonggak utama dengan membariskan skuad campuran melayan kunjungan The Blues yang bertandang ke Stadium Emirates.

Di kem Chelsea pula, Jose Mourinho masih memiliki rangkaian pemain berkualiti meskipun merehatkan beberapa pemain utama selepas mengharungi perlawanan sukar menentang Manchester City dalam tempoh 48 jam sebelum bertandang ke Stadium Emirates. Kedua-dua pasukan pastinya akan berjuang sepenuh hati bagi mencari kemenangan dalam tempoh 90 minit sekaligus mengelak daripada berlanjutan ke masa tambahan.

ARSENAL vs LIVERPOOL – 2 NOVEMBER 2013

Aaron+Ramsey+Arsenal+v+Liverpool+2013Pertembungan buku bertemu ruas ini bakal menentukan siapakah yang akan menguasai tahta liga dengan Liverpool hanya ketinggalan dua mata di belakang Arsenal yang sedang memimpin persada liga ketika ini. Skuad bimbingan Arsene Wenger pastinya berdepan tugas sukar melayan kunjungan The Reds yang kini berada di prestasi terbaik sekaligus bangkit daripada prestasi hambar beberapa musim lalu.

Pertahanan Arsenal pastinya berdepan ujian berat menanti asakan daripada gandingan penyerang Liverpool, Luis Suarez dan Daniel Sturridge yang berjaya meledak 14 gol dalam 9 perlawanan liga setakat ini. Tempoh rehat mencukupi yang dimiliki oleh Liverpool lantaran sudah tersingkir dari Piala Capital One dan tidak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah memberi sedikit kelebihan buat The Reds untuk menghadapi Arsenal.

BORUSSIA DORTMUND vs ARSENAL – 6 November 2013

Giliran Arsenal bertandang pula ke Westfalenstadion, Dortmund dalam misi untuk mencari 3 mata sekaligus mencerahkan peluang melayakkan diri ke pusingan kedua. Perlawanan menarik menyaksikan penguasaan bahagian tengah bakal menentu hala tuju kedua-dua pasukan. Kekentalan benteng pertahanan The Gunners bakal diuji dengan rangkaian serangan skuad bimbingan Jurgen Klopp.

MANCHESTER UNITED vs ARSENAL – 10 November 2013

wayne-rooney-arsenal-vs-man-united-apr-2013The Gunners bakal menghadapi perlawanan sukar dalam kunjungan ke Old Trafford dengan misi meraih mata maksimum bagi mengukuhkan cengkaman di persada liga. Meskipun prestasi Red Devils terumbang-ambing sejak diambil alih oleh David Moyes ekoran persaraan Sir Alex Ferguson hujung musim lalu. Manchester United kini ketinggalan 8 mata di belakang Arsenal.

Meskipun rekod perlawanan Arsenal di Old Trafford tidak baik namun situasi ini pasti berubah musim ini lantaran skuad bimbingan Arsene Wenger kini semakin matang ditambah pula dengan kehadiran dua tonggak berpengalaman, Mesut Ozil dan Mathieu Flamini. Satu lagi perlawanan penting buat The Gunners dengan kemenangan mampu menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuan Arsenal musim ini.

Kesimpulannya, perlawanan ini sangat penting dalam menentukan hala tuju dan menilai kemampuan sebenar Arsenal untuk menjulang kejuaraan musim ini sekaligus menamatkan penantian kemarau kejuaraan sejak 8 musim yang lalu. Kemenangan juga akan memberi ransangan motivasi buat pemain-pemain Arsenal dalam mengharungi perlawanan mendatang. Ayuh kita semarakan sokongan buat skuad Arsenal dalam mengharungi saingan musim ini. COYG

This entry was posted in Coretan and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply