[KOMENTAR] PARK CHU-YOUNG PERLU TINGGALKAN ARSENAL

Park+Chu+Young+vs+Shrewsbury+TownMeskipun beraksi bersama kelab besar seperti Arsenal namun ini tidak menjamin masa depan yang cerah. Malah, penyerang antarabangsa Korea Selatan itu digesa meninggalkan Arsenal demi menghidupkan kembali kariernya selaku pemain bola sepak professional. Sejak tiba di Arsenal pada jendela perpindahan musim panas 2011, penyerang berusia 28 tahun itu gagal mendapat peluang beraksi dalam skuad utama dengan hanya melakukan 6 penampilan bersama The Gunners.

Ketibaan Olivier Giroud dan Lukas Podolski pada musim panas 2012 menyaksikan peluang Chu-Young bersama Arsenal semakin tipis. Penyerang kelahiran Daegu itu akhirnya meninggalkan Arsenal untuk menyertai Celta Vigo secara pinjaman bagi musim 2012/13. Bersama Celta Vigo, penyerang antarabangsa Korea Selatan itu berpeluang beraksi dalam 21 perlawanan dengan menjaringkan 3 gol. Pada jendela perpindahan lalu, Chu-Young sekali lagi gagal meninggalkan Stadium Emirates.

Lantaran jarang mendapat peluang beraksi, karier pemain berusia 28 tahun itu di peringkat antarabangsa turut terjejas. Minggu lalu, Park Chu-Young tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan Korea Selatan bagi perlawanan persahabatan menentang Haiti dan Croatia. Terdahulu, penyerang The Gunners itu turut dilucutkan jawatan selaku kapten skuad kebangsaan Korea Selatan pada Januari 2012.

Sehingga kini, Park Chu-Young sudah memiliki 61 caps bersama Korea Selatan serta berjaya menjaringkan 23 gol untuk negaranya. Demi meneruskan kelangsungan kariernya selaku pemain bola sepak, pengendali skuad kebangsaan Korea Selatan, Hong Myung Bo menggesa agar Chu-Young segera meninggalkan Arsenal dan mencari kelab yang dapat memberi peluang kepadanya beraksi dalam skuad utama dengan lebih kerap.

“Park (Chu-Young) tahu apa yang perlu dilakukan. Dia harus segera mencari kelab baru jika ingin beraksi bersama skuad kebangsaan Korea Selatan,” kata Myung Bo kepada Korea Herald.

This entry was posted in Komentar and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply