[CORETAN] IMPIAN ROSICKY JULANG KEJUARAAN UNTUK ARSENAL

tomas-rosicky-goal-vs-west-brom-2013Meskipun karier bola sepak Tomas Rosicky selaku pemain professional kian menuju ke penghujung namun kapten skuad kebangsaan Republik Czech masih bersemangat untuk membantu Arsenal menamatkan kemarau kejuaraan sejak lapan musim yang lalu. Pemain tengah kreatif berusia 32 tahun ini belum pernah menjulang trofi bersama The Gunners sejak melengkapkan perpindahan dari Borrusia Dortmund pada 23 Mei 2006 dengan menyarung jersi no.7 milik Robert Pires.

Tomas Rosicky merupakan antara salah seorang pemain senior yang terus komited bersama Arsenal namun masih belum menandatangani kontrak walaupun kontrak lamanya bakal berakhir Jun tahun depan. Sepanjang bersama The Gunners, pemain kelahiran Prague, Republik Czech ini sudah melakukan 182 penampilan dengan menjaringkan 22 gol dan menghasilkan 24 assist setakat ini.

“Sangat muda. Sasaran saya adalah untuk meraih piala bersama Arsenal. Saya mahu menjulang kejuaraan liga,” kata Rosicky ketika ditanya mengenai sasarannya bagi musim baru 2013/14.

“Ini merupakan tahun ke-8 saya berada di sini. Jadi, ini masa tepat untuk saya mencapai cita-cita saya itu.”

Tomas-Rosicky-frustration“Jelasnya, ini merupakan satu persaingan yang sukar. Tiada keraguan mengenainya dan terdapat beberapa pasukan yang hebat dalam Liga Perdana Inggeris. Tetapi, saya tidak peduli dengan apa yang orang katakan. Saya hanya mahu melakukan yang terbaik.”

“Saya berkerja keras setiap hari dalam sesi latihan dan dalam perlawanan untuk mencapai cita-cita saya. Saya tidak pernah merasai dahagakan kejuaraan dalam karier saya sebelum ini seperti yang saya rasakan sekarang.”

Meskipun Tomas Rosicky merupakan tonggak utama The Gunners, namun kapten Republik Czech berusia 32 tahun ini gagal memberi impak kepada persembahan Arsenal lantaran sering dibelenggu dengan masalah kecederaan yang berulang. Musim lalu, pemain yang digelar ‘Little Mozart’ ini hanya melakukan 16 penampilan dengan menjaringkan 2 gol serta 3 assist.

This entry was posted in Coretan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply