[PERSPEKTIF] BURSA PERPINDAHAN PEMAIN ARSENAL BARU DI BUKA

Arsene-Wenger-champion-league-interviewPengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui bahawa The Gunners baru sahaja memasuki bursa pasaran perpindahan pemain selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-0 ke atas Fenerbahce di tempat lawan dalam aksi pertama perlawanan play-off Liga Juara-Juara Eropah musim 2013/14 awal pagi tadi. Terdahulu, Arsene Wenger hanya membawa masuk penyerang muda Perancis dari Lille, Yaya Sanogo secara percuma awal Jun lalu.

Pengurus berusia 63 tahun tahun itu berdepan kritikan selepas gagal membina pasukan yang mantap dan gagal bergerak aktif dalam pasaran perpindahan pemain menyaksi Arsenal tewas mengejut 1-3 kepada Aston Villa pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates hujung minggu lalu. Meskipun dikaitkan dengan ramai nama-nama besar namun The Gunners masih gagal untuk mendapatkan pemain-pemain berkualiti bagi mengukuhkan skuad musim ini.

Terbaru, Arsenal dikaitkan dengan duo Real Madrid, Karim Benzema dan Angel Di Maria selain pemain tengah Newcastle United, Yohan Cabaye. Namun, hasrat Arsenal untuk mendapatkan pemain-pemain itu dilihat sukar lantaran kelab tersebut belum bersedia untuk melepaskan pemain-pemain tersebut kepada Arsenal. Sebaliknya, Wenger terus tenang menghadapi pasaran perpindahan pemain meskipun dihimpit masalah kecederaan serius yang melanda beberapa tonggak utama.

“Bursa perpindahan (pemain) bagi saya baru bermula sekarang (semalam) dan banyak aktiviti yang bakal terjadi dari sekarang hingga detik akhir perpindahan ditutup,” kata Wenger selepas pasukannya menewaskan Fenerbahce 3-0 di Istanbul.

” Dari 21 Ogos hingga 2 September, kami masih mempunyai 12 hari lagi. Masih banyak yang bakal terjadi. Kami akan bermula sekarang.”

“Ia seperti permainan poker. Pemain akan mempertahankan mereka sleama mungkin dan menantikan apa yang bakal terjadi. Dan akhirnya, mereka akan membuat keputusan,” kata pengendali berusia 63 tahun itu lagi.

Meskipun dihimpit dengan masalah kecederaan namun beberapa pemain termasuk Jack Wilshere, Aaron Ramsey, Tomas Rosicky, Bacary Sagna dan Kieran berjaya pulih sebelum perlawanan menentang Fenerbahce di Stadium Sukru Saracoglu, Istanbul. The Gunners bangkit menepis kritikan dengan menunduk naib juara Liga Turki musim lalu itu menerusi jaringan Kieran Gibbs (51′) dan Aaron Ramsey (64′) serta sepakan penalti Olivier Giroud pada minit ke-77.

Ekoran kemenangan tersebut, Arsenal berjaya membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Stadium Emirates pada 28 Ogos ini dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim ini. Arsene Wenger dilaporkan turut diberi dana tambahan sebanyak £25 juta selain dana awal sebanyak £70 juta yang masih belum digunakan untuk jendela perpindahan musim panas ini.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply