[LIGA MALAYSIA] LIONXS XII JULANG LIGA SUPER MALAYSIA 2013

Lions-XII-juara-Liga-Super-2013Meskipun saingan masih berbaki satu perlawanan, Lions XII berjaya mengesahkan kejuaraan Liga Super 2013 selepas membelasah Felda United 4-0 di laman sendiri semalam. Kejayaan bermakna skuad muda Singapura itu turut disaksikan oleh Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd. Amin yang turut menyampaikan trofi kejuaraan kepada Lions XII.

Skuad kendalian V. Sundramoorthy berjaya mengumpul 43 mata dalam 21 perlawanan mengatasi dua pencabar terdekat, Selangor dan Johor Darul Takzim. Kali terakhir pasukan dari Singapura memenangi kejuaraan liga Malaysia adalah pada tahun 1994 ketika dikenali sebagai Liga Perdana sebelum mereka menarik diri pada tahun berikutnya. Pasukan dari Singapura kembali menyertai saingan Liga Malaysia pada tahun lalu dengan muncul selaku naib juara Liga Super 2012.

Kejayaan Lions XII ternyata memberi tamparan hebat kepada pasukan-pasukan tempatan lain ekoran gagal menghalang sebuah skuad yang dibarisi rata-rata pemain berusia bawah 23 tahun. Pengendalinya, V. Sundramoorthy menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super 2013 itu sangat bermakna selain menyifatkan saingan musim ini sangat mencabar selain teruja dengan hasil yang diperolehi di penghujung saingan.

“Saingan musim ini sangat mencabar. Tambahan pula kita mempertaruhkan banyak pemain bawah 23 tahun dan mereka berjaya melaksanakan tugasan mereka dengan baik dan seterusnya bergelar juara.”

“Kehadiran Perdana Menteri, Lee Hsien Loong pada malam ini turut memberikan mereka semangat dan motivasi yang tinggi buat para pemain dan mereka sudah membuktikan kemampuan mereka,” katanya yang ditemui selepas perlawanan, semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Jalan Besar semalam, Lions XII bermula garang dan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ke-15 namun Fazrul Nawaz berada dalam kedudukan offside. Lions XII sekali lagi hampir memecah kebuntuan apabila Shahril Ishak membuat satu lorongan cantik ke dalam kotak penalti Felda United namun gagal disudahkan Nazrul Nazari apabila penjaga gol Felda, Rozaimie Rohim berjaya menghalang gerakannya. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Detik kegembiraan tuan rumah hadir seminit sejurus babak kedua bermula apabila pemain Felda United, Mohd. Azrul Azmi tertanduk masuk bola ke dalam gawang sendiri ketika cuba mengeluarkan percubaan sepakan percuma yang diambil Shahril Ishak. Kedudukan Lions XII semakin selesa apabila kapten pasukan, Shahril Ishak mudah menolak masuk hantaran Faris Ramli pada minit ke-57.

Giliran Fazrul Nawaz menambah penderitaan Felda United empat minit berselang untuk menjadikan kedudukan 3-0. Tidak cukup dengan itu, tuan rumah memastikan kejayaan mereka menjuarai Liga Super dengan penuh bergaya apabila pemain gantian, Shafiq Ghani turut meletakkan nama selaku penjaring apabila menolak masuk gol keempat tuan rumah hasil hantaran Shahril Ishak yang layak dianggap sebagai pemain terbaik Lions XII pada musim ini.

SENARAI PEMENANG LIGA SUPER MALAYSIA (sejak diperkenalkan pada 2005)

2004 – Pahang
2005 – Perlis
2006 – Negeri Sembilan
2007 – Kedah
2008 – Kedah
2009 – Selangor
2010 – Selangor
2011 – Kelantan
2012 – Kelantan
2013 – Lions XII

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply