[FIFA] BRAZIL JULANG PIALA KONFEDERASI 2013

Brazil-juara-Piala-Konfederasi-2013Skuad Samba meneruskan kecemerlangan dan membuktikan reputasi selaku pasukan yang digeruni apabila merangkul Kejuaraan Piala Konfederasi FIFA 2013 selepas menewaskan juara dunia, Sepanyol 3-0 di perlawanan akhir semalam. Dua jaringan Fred dan satu lagi menerusi Neymar Jr. memberi kemenangan bergaya buat Brazil sekaligus menamatkan rekod tanpa kalah La Roja dalam 29 perlawanan kompetatif di peringkat antarabangsa.

Brazil bermula garang dengan mengasak kubu Sepanyol sebaik wisel permulaan dibunyikan. Usaha skuad bimbingan Luiz Felipe Scolari membuahkan hasil apabila Fred berjaya memanfaat situasi kelam-kabut dalam kotak penalti Sepanyol dengan merembat masuk gol pertama perlawanan seawal minit ke-2. Bintang muda Chelsea, Oscar hampir mengandakan jaringan buat Brazil namun percubaannya pada minit ke-8 sedikit tersasar.

Sepanyol yang tampak keletihan selepas dipaksa beraksi 120 minit pada aksi separuh akhir menentang Itali jelas gagal menyaingi corak permainan pantas yang ditampil oleh The Selecao. Percubaan Fred pada minit ke-37 pula berjaya dinafikan oleh penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas. Meskipun menguasasi permainan, La Roja gagal untuk memberi ancaman buat skuad Samba yang berada di prestasi terbaik.

Peluang terbaik Sepanyol menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-41 apabila Pedro berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Brazil, Julio Cesar namun percubaan pula sempat ditampan keluar oleh David Luiz. Kealpaan benteng pertahanan La Roja pada minit ke-44 mengundang padah apabila rembatan kencang kaki kiri Neymar gagal diselamatkan oleh Iker Casillas lalu menerjah gawang La Roja. Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pengendali Sepanyol, Vicente del Bosque melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Alvaro Arbeloa dan memasukan Cesar Azpilicueta bagi menutup kerapuhan benteng Sepanyol di sebelah kanan. Percaturan itu gagal membuahkan hasil apabil Fred sekali lagi menemui sasaran menerusi pergerakan di sebelah kanan gawang La Roja untuk Brazil selesa mendahului 3-0 pada minit ke-47.

Sepanyol berpeluang merapatkan jurang gol apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Marcelo menjatuhkan Jesus Navas dalam kotak penalti pada minit ke-52. Namun, Sergio Ramos gagal menyempurnakan sepakan tersebut. Vicente del Bosque memasukkan David Villa mengantikan Fernando Torres pada minit ke-59 bagi menambah sengat di bahagian jentera serangan Sepanyol.

La Roja tambah derita apabila Gerard Pique dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan Neymar pada minit ke-67. Brazil kemudiannya memperlahan rentak permainan dengan mengeluarkan Hulk dan Fred yang digantikan oleh Jagdson dan Jo. Penjaga gol Brazil, Julio Cesar pula cemerlang menyelamatkan percubaan Pedro pada minit ke-81. David Villa turut hampa selepas percubaannya dinafikan oleh Julio Cesar.

Kedudukan 3-0 itu kekal hingga tamat perlawanan sekaligus memberikan kejuaraan ke-4 Piala Konfederasi buat The Selecao. Kejayaan ini juga memberi tonik terbaik buat skuad bimbingan Luiz Felipe Scolari dalam usaha untuk menjulang Piala Dunia 2014 di laman sendiri tahun hadapan. Sebaliknya, Sepanyol terus hampa untuk merangkul kejuaraan pertama Piala Konfederasi selepas gagal dalam dua percubaan terdahulu.

BARISAN PEMAIN PERLAWANAN AKHIR PIALA KONFEDERASI 2013

Brazil : Julio Cesar, Dani Alves, Thiago Silva, David Luiz, Marcelo, Luiz Gustavo, Paulinho, Oscar, Fred, Neymar, Hulk.
Subs: Jefferson, Cavalieri, Fernando, Lucas Moura, Hernanes, Dante, Luis, Jean, Rever, Bernard, Jo, Jadson.

Sepanyol : Iker Casillas,  Alvaro Arbeloa, Gerard Pique, Sergio Ramos, Jordi Alba, Xavi, Sergio Busquets, Andres Iniesta, Juan Mata, Fernando Torres, Pedro Rodriguez.
Subs: Victor Valdes, Pepe Reina, Raul Albiol, Javi Martinez, Cesar Azpilicueta, David Villa, Cesc Fabregas, Roberto Soldado, Nacho Monreal, Santi Cazorla, David Silva, Jesus Navas.

This entry was posted in FIFA and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply