[BERITA] HARIMAU MALAYA GAGAL SAINGI THE BLUES

Malaysia XI vs Chelsea 2013Harimau Malaya gagal menyaingi kehebatan juara Liga Juara-Juara Eropah 2011/12 dan Piala Europa 2012/13, Chelsea apabila tewas 1-4 dalam perlawanan persahabatan sempena siri Jelajah Asia Chelsea 2013 di Stadium Shah Alam, semalam. Anak-anak buah Datuk K. Rajagopal memperoleh pengalaman berharga dalam aksi kelas tinggi tatkala berdepan skuad bimbingan Jose Mourinho yang turut disaksikan kira-kira 50,000 penonton.

Chelsea bermula garang dengan mendominasi perlawanan sebaik wisel dibunyikan namun gagal menembusi gawang Malaysia yang dikemudi oleh Aidil Zafuan dan Fadhli Shas. Penyerang muda Belgium, Romelu Lukaku paling awal menguji gawang negara pada minit ke-5 namun berjaya ditampan oleh penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias. Seminit berselang, gawang Harimau Malaya akhirnya bolos selepas Bertrand Traore bijak menyempurnakan hantaran lintang dari sebelah kanan oleh Kevin De Bruyne.

Anak-anak buah Datuk K. Rajagopal berjaya memberikan sedikit ancaman menerusi K. Gurusamy pada minit ke-22 namun percubaannya dalam kotak penalti berjaya dihalang oleh pertahanan Chelsea. The Blues mengandakan jaringan selepas umpanan Romelu Lukaku pantas disambar oleh De Bruyne yang melepaskan satu sepakan volley menarik menewaskan Farizal Marlias di gawang Malaysia.

Namun, jaringan itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila pemain berusia 22 tahun itu dibawa keluar kerana mengalami kecederaan lutut ketika meledak gol kedua Chelsea tersebut. Lukaku terus melebarkan kedudukan untuk gol ketiga The Blues apabila cemerlang menyempurnakan hantaran Branislav Ivanocic. Malaysia turut mendapat peluang untuk menjaringkan gol apabila sepakan kencang luar kotak penalti Aidil Zafuan namun ditepis oleh Mark Shwarzer di gawang Chelsea.

Bersambung babak kedua, pengurus Chelsea melakukan 9 pertukaran dengan merehatkan Micheal Essien, Romelu Lukaku, Mark Schwarzer dan John Terry untuk menurunkan pemain seperti Demba Ba, Ramires, Petr Cech dan Victor Moses. Nyata percaturan Jose Mourinho membuahkan hasil apabila corak permainan The Blues semakin mantap dengan lebih banyak serangan diatur ke kubu Harimau Malaya.

Pengendali skuad negara, Datuk K. Rajagobal turut melakukan beberapa pertukaran termasuk menurunkan Safee Sali, Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim dan Norfarhan Muhammad untuk merobek gawang Chelsea. Victor Moses menambah derita Harimau Malaya menerusi rembatan leret yang menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-89. Namun, skuad negara tidak berputus asa untuk menembusi gawang Chelsea.

Usaha Malaysia membuahkan hasil apabila sepakan percuma Safiq Rahim yang gagal ditampan kemas oleh Petr Cech pantas disambut oleh Fadhli Shas yang menanduk masuk gol saguhati Malaysia. Perancang Negeri Sembilan, Nizad Ayub turut hampa untuk merapatkan defisit gol apabila percubaannya gagal menemui sasaran. Kedudukan 4-1 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan Malaysia gagal mengekalkan prestasi terbaik ketika tewas tipis kepada Chelsea pada tahun 2011.

BARISAN KESEBELASAN UTAMA

MALAYSIA XI : Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Azizi Mat Rose, Asraruddin Putra, Nik Shahrul Azim Aidil Zafuan (C), Norshahrul Idlan, Shakir Shaari, K. Gurusamy, S. Kunanlan, Amri Yahyah,

CHELSEA FC : Mark Schwarzer, Branislav Ivanovic, John Terry (C), Nathaniel Chalobah, Bertrand Traore, Mikel Essien, Marco van Ginkel, Kevin De Bruyne (Feruz 31′), Eden Hazard, Romelu Lukaku

This entry was posted in Berita and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply