[BADMINTON] SOO TECK ZHI JUARA BADMINTON REMAJA ASIA B-19

Soo-Tech-Zhi-juara-badminton-Asia-2013Dunia badminton tanah air kembali bersinar selepas pemain remaja negara, Soo Teck Zhi mencipta kejutan apabila muncul juara perseorangan lelaki kejohanan Badminton Asia B-19 100 PLUS. Berbekalkan sokongan padu penyokong tempatan, Teck Zhi berada pada kelas tersendiri untuk menundukan bintang muda sensasi Korea Selatan, Jeon Hyuk Jin 21-17, 13-21, 21-15 dalam masa 55 minit pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Meskipun diletak sebagai pilihan ke-5 dalam edisi tahun ini, pemain berusia 18 tahun kelahiran Selangor ini membukti kemampuannya untuk mengenepikan cabaran peserta lain termasuk menewaskan pilihan pertama kejohanan. Kemenangan Soo Teck Zhi menjadikan dirinya wakil tunggal Malaysia yang memenangi perlawanan akhir semalam setelah rakan-rakan senegara yang lain tersingkir iaitu dalam acara beregu lelaki, perseorangan perempuan, beregu perempuan dan beregu campuran.

Pada suku akhir Jumaat lalu, Teck Zhi menumpaskan pemain China, Jun Peng 21-15, 21-12 dan memenangi perlawanan separuh akhir kelmarin menewaskan pilihan pertama, Thammasin Sittikom dari Thailand 21-14, 21-12. Kemenangan Teck Zhi ke atas Thammasin kelmarin tidak diduga kerana skuad negara sebenarnya lebih menyandarkan harapan kepada pemain utamanya yang juga pilihan kedua kejohanan, Soong Joo Ven untuk memburu gelaran perseorangan lelaki.

Menurut Teck Zhi, kejayaan yang dilakar di bumi Kota Kinabalu itu adalah permulaan kepada misinya bergelar juara remaja dunia. Pemain berusia 18 tahun itu turut melahirkan rasa bangga apabila dia menjadi satu-satu produk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang berjaya muncul juara remaja Asia.

“Sebenarnya saya patut beraksi pada kejohanan ini (Kejohanan Remaja Asia) sejak tahun lalu lagi, namun terpaksa dilupakan ekoran komitmen pada Kejohanan Sekolah-Sekolah Asia,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah semalam.

“Justeru, saya menggunakan segala peluang yang ada tahun ini dan hari ini (semalam), saya berjaya melakukannya apabila muncul juara perseorangan lelaki.”

“Seharusnya saya berterima kasih dengan sokongan peminat di stadium ini yang banyak membantu kejayaan hari ini (semalam).”.

“Kini, dengan persiapan rapi yang dilakukan di bawah kendalian jurulatih, saya yakin dapat mengulangi pencapaian ini untuk bergelar juara remaja dunia.”

Lebih manis, kejayaan tersebut mengulangi pencapaian rakan senegara, Zulfadli Zulkifli yang muncul kejohanan yang sama di India pada 2011. Sebagai rekod, antara jaguh badminton dunia yang pernah bergelar juara remaja Asia termasuklah trio China – Lin Dan, Chen Jin dan Chen Long selain pemain Jepun, Kenichi Tago dan Park Sung-Hwan dari Korea Selatan. Kejohanan Remaja Dunia Bawah 19 dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 23 Oktober hingga 3 November depan.

This entry was posted in Badminton and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply