[PIALA FA] KELANTAN JULANG PIALA FA 2013

Kelantan-juara-Piala-FA-2013Kelantan mengekalkan reputasi sebagai antara pasukan terbaik dalam Liga Malaysia apabila menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada perlawanan Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Jaringan tunggal Mohd Nor Farhan Muhammad pada minit ke-16 sudah cukup untuk menghadiahkan kejuaraan Piala FA ke-2 buat The Red Warriors sekaligus mengulangi pencapaian tahun lalu menewaskan Sime Darby 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Di hadapan 90,000 penonton, kegagahan The Red Warriors nyata jelas terlalu sukar dicabar oleh Harimau Selatan dengan penguasaan di bahagian tengah menjadi milik Kelantan yang diketuai Mohd. Badhri Mohd. Radzi. Serangan-serangan pantas yang diterapkan jurulatih, Bojan Hodak membuatkan Johor DT bagaikan hilang punca yang turut tempang tanpa kelibat pertahanan kental, Mohd. Aidil Zafuan yang menjalani pengantungan.

Bermula dari hantaran jauh Shakir Shaari kepada Badhri Radzi yang bijak melorongkan bola kepada Norfarhan Muhammad yang mudah menolak masuk dengan menewaskan penjaga gol Johor DT pada minit ke-16. Tersentak dengan jaringan pertama perlawanan itu, jurulatih Harimau Selatan, Fandi Ahmad melakukan tiga pertukaran pemain iaitu membawa masuk Leonel Nunez, K. Thanaraj dan Ahmad Ezrie Shafie dan mengeluarkan Safee Sali, Andrea Francisco dan Safiq Rahim.

Namun, percaturan pengendali kelahiran Singapura itu masih gagal membuahkan hasil sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama perlawanan. Kecemerlangan penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah turut beraksi cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada rangkaian jentera serangan Kelantan yang diketuai oleh Mohd Fakri Saarani dan Nor Farhan Muhammad.

Bersambung di separuh masa kedua, Harimau Selatan kembali mengasak benteng pertahanan The Red Warriors, namun Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim tenang mengemudi benteng pertahanan Kelantan dan berjaya menggagalkan setiap percubaan daripada pasukan dari selatan tanah air itu.

Penyerang import Johor DT, Leonel Nunez hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma pada minit ke-78 namun masih gagal untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Seminit berselang, Nurul Azwan Roya berjaya melepasi benteng pertahanan lawan tetapi hantaran lintang itu berjaya dihidu Khairul Fahmi yang mudah menangkap bola itu bagi menyelamatkan keadaan. Nunez terus hampa apabila percubaannya pada minit ke-82 gagal menemui sasaran. Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu jaringan penyamaan terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan The Red Warriors sekaligus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply