[HOKI] MALAYSIA TERIKAT 4-4 DENGAN PAKISTAN

Malaysia-v-Pakistan-World-Hockey-League-2013Malaysia bermula hambar pada aksi pembukaan separuh akhir Liga Hoki Dunia 2013 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. Anak-anak buah Paul Revington dua kali mensia-siakan kelebihan mendahului tiga gol sebelum diikat 4-4 oleh gergasi hoki Asia, Pakistan. Pasukan negara mendahului 3-0 sebelum Pakistan bangkit dengan gol pertama, sembilan minit sebelum aksi babak pertama berhenti rehat.

Meskipun gagal meraih mata penuh pada aksi pembukaan namun Paul Revington berpuas hati dengan pencapaian pemain negara. Jurulatih skuad kebangsaan mengakui bahawa anak-anak buahnya telah menunjukkan peningkatan terutama aspek serangan balas. Begitu juga dengan pukulan sudut penalti serta strategi bertahan yang semakin baik. Kini, Revington mahu pemain-pemain Malaysia fokus untuk perlawanan seterusnya menentang Afrika Selatan hari ini.

“”Harapan saya pada perlawanan esok (hari ini) menentang Afrika Selatan kami mampu kekal fokus selain mempunyai 24 jam untuk persediaan,” kata Revington kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Dalam aksi sulung Kumpulan B semalam, Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia lebih kerap melakukan serangan ke kubu Pakistan terutama pada awal separuh masa pertama. Pasukan kebangsaan tidak menunggu lama untuk membuka jaringa menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim seawal minit ketiga hasil pukulan sudut penalti. Razie turut meledak gol kedua, empat minit selepas itu. Malaysia terus cemerlang dengan menambah gol ketiga hasil pukulan sudut penalti Muhammad Marhan Jalil minit ke-18.

Pakistan berjaya merapatkan kedudukan 3-1, sembilan minit sebelum tamat separuh masa hasil pukulan sudut penalti Abdul Haseem Khan. Bermula babak kedua, anak-anak buah Revington melakukan serangan pantas untuk menjarakkan kedudukan 4-1 hasil jaringan padang Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-38. Pakistan yang tertekan menggandakan asakan dan berjaya menjadikan kedudukan 4-2 hasil pukulan sudut penalti minit ke-42 menerusi Muhammad Tousiq.

Dua lagi jaringan Pakistan diperoleh menerusi pukulan penalti minit ke-56 yang dimanfaatkan dengan baik oleh Shakeel Abbasi dan jaringan sudut penalti penyerang Muhammad Imran minit ke-61 meranapkan impian skuad negara untuk meraih mata penuh bagi mencerah peluang ke separuh akhir Liga Hoki Dunia 2013. Sementara itu, England pula bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mengikat Afrika Selatan 2-2 pada satu lagi aksi kumpulan B semalam.

This entry was posted in Hoki and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply