[PERPINDAHAN] MUNGKINKAH IKER CASILLAS MENJADI MILIK ARSENAL

Iker-Casillas-Real-MadridArsenal dikhabarkan memulakan usaha untuk mendapatkan penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas pada jendela perpindahan musim panas ini. Penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu dilihat semakin disisihkan sejak ketibaan bekas penjaga gol Sevilla, Diego Lopez pada Januari lalu selepas Casillas terpaksa disisihkan sselam 12 minggu kerana mengalami kecederaan tangan. Meskipun telah pulih sepenuhnya, namun Casillas masih belum diberi peluang untuk kembali ke dalam skuad utama Los Blancos.

Iker Casillas telah memulakan karier awal bersama akademi Real Madrid sejak 1990 dan mendapat debut ketika berusia 17 tahun pada musim 1998/99. Musim berikutnya, anak kelahiran Mostoles, Sepanyol berjaya merampas kedudukan selaku penjaga no.1 Real Madrid daripada Bodo Illgner. Sehingga kini, Casillas sudah melakukan 654 penampilan bersama skuad Los Blancos.

Dalam skuad kebangsaan La Roja pula, Casillas memulakan debut menentang Sweden pada 2 Jun 2000 ketika berusia 19 tahun 14 hari. Penjaga gol yang memiliki ketinggian 1.85m itu berjaya merampas kedudukan selaku penjaga gol Sepanyol daripada Santiago Canizares pada kejohanan Piala Dunia 2002. Iker Casillas berjaya tampil selaku pemain yang paling banyak caps dalam skuad kebangsaan Sepanyol dengan 143 penampilan setakat ini.

Iker+Casillas+Euro+2008+SpainDi sebalik hubungan yang dingin antara Iker Casillas dengan pengurus Real Madrid, Jose Mourinho, Arsenal dilaporkan bersedia menawarkan tawaran bernilai €35 juta berserta Bacary Sagna bagi membawa khidmat penjaga gol berusia 31 tahun itu ke Stadium Emirates. Arsene Wenger yang kecewa selepas ketiga-tiga penjaga gol The Gunners gagal menampilkan aksi yang konsisten dan mahu mendapatkan penjaga gol berkualiti bagi membina skuad yang mantap musim depan.

Pemergian Iker Casillas dari Santiago Bernabeu turut bergantung kepada kedudukan Jose Mourinho yang dijangka akan meninggalkan Real Madrid hujung musim ini. Andai pengendali berbangsa Portugal meninggal Los Blancos, Iker Casillas dijangka akan terus kekal di Santiago Bernabeu. Tambahan pula, hasrat Arsenal untuk mendapat penjaga gol terbaik dunia sejak 2008 hingga 2012 tampak mustahil selepas Casillas menyatakan hasrat untuk kekal di Madrid.

“Masa depan saya adalah bersama Real Madrid kerana saya mempunyai kontrak (di sini).” kata Iker Casillsas baru-baru ini.

“Saya bersama kelab ini sejak saya berusia 9 tahun lagi kerana ini adalah kelab yang saya sokong dan itu yang saya mahukan.”

“Kami (Real Madrid) mempunyai mata yang selesa dalam saingan liga dan akan cuba untuk menewaskan Atletico Madrid dalam Copa del Rey,” kata penjaga gol berusia 31 tahun itu lagi.

This entry was posted in Perpindahan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply