[ANALISIS] AARON RAMSEY BINTANG DALAM PEMBIKINAN

Aaron-Ramsey-vs-Everton-April-2013Aaron Ramsey antara permata yang kian menyinar dalam kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris. Bintang muda Arsenal ini disebut-sebut sebagai bayangan kepada ‘Cesc Fabregas’ mula meniti di bibir-bibir penyokong The Gunners. Meskipun dikritik hebat kerana gagal memberi impak berkesan kepada Arsenal namun pengurus pasukan, Arsene Wenger terus memberi kepercayaan kepada pemain antarabangsa Wales ini beraksi dalam skuad utama The Gunners.

Pemain kelahiran Caerphilly, Wales ini memulakan karier awal bersama Cardiff City ketika berusia 9 tahun. Sinar karier bola sepak Ramsey bermula apabila dia menolak tawaran dari Everton dan Manchester United untuk menyertai Arsenal pada Jun 2008 dengan yuran perpindahan bernilai £4.8 juta ketika berusia 17 tahun. Pemain serba boleh yang memiliki kekuatan stamina dan kemahiran yang bagus tidak menunggu lama untuk mendapat debut dalam skuad utama Arsenal pada 13 Ogos 2008 ketika menentang FC Twente.

Musim pertama bersama The Gunners, pemain berusia 22 tahun ini telah melakukan 22 kemunculan dalam skuad utama Arsenal dan berjaya menjaringkan 3 gol dan menghasilkan 3 assist. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan Ramsey memiliki persamaan dengan lagenda United, Roy Keane dengan berkata, “Saya rasa dia memiliki pemikiran menyerang Roy Keane di mana memiliki kempuan yang hebat dalam menutup setiap ruang.”

Aaron-Ramsey-broken-leg-2010Di saat bintang Aaron Ramsey mula menyinar, awan hitam berarak lalu menutupi kecemerlangannya. Terjahan keras pertahanan Stoke City, Ryan Shawcross pada 27 Februari 2010 menyaksikan tulang fibula dan tibia kaki Ramsey patah sekaligus terpaksa berehat hampir 10 bulan. Kecederaan itu jelas memberi impak kepada pemain berusia 22 tahun yang bergelut untuk mendapat kembali prestasi sebenar.

Selepas pulih dari kecederaan, Ramsey dipinjamkan ke Nottingham Forest dan Cardiff City sebelum kembali ke Arsenal pada Mac 2011. Jaringannya ketika membantu Arsenal menewaskan Manchester United memberi suntikan semangat baru kepada Ramsey untuk kembali mendapat tempat dalam skuad utama Arsenal. Pemain kelahiran Caerphilly itu menganggap bahawa jaringan tersebut cukup istimewa selepas bangkit dari kecederaan.

“Menjaringkan gol itu (menentang Man United) merupakan detik istimewa bagi saya. Ini hasil dari sebuah penantian dan begitu ramai orang yang membantu saya menghadapi saat-saat sukar. Semoga gol ini akan memberi kepuasan kepada mereka sama seperti yang saya rasai.”

Aaron+Ramsey+vs+Park+Ji+SungMusim 2011/12 menyaksikan Aaron Ramsey kembali menjadi pilihan utama Wenger ekoran pemergian Cesc Fabregas dan Samir Nasri serta kecederaan yang dialami oleh Tomas Rosicky dan Abou Diaby. Meskipun dikritik hebat oleh penyokong-penyokong Arsenal, pemain berusia 22 tahun ini telah melakukan 27 penampilan dalam kesebelasan utama serta 7 kali sebagai pemain gantian berjaya menjaringkan 2 gol serta menghasilkan 2 assist.

Aaron Ramsey turut mencipta sejarah apabila diberikan lilitan armband oleh Gary Speed dan menjadi kapten termuda skuad kebangsaan Wales ketika berusia 20 tahun 10 hari ketika menentang England pada 26 Mac 2011 sekaligus mengatasi rekod yang dipegang oleh Mike England pada 1964. Parut di hati Ramsey kembali berdarah ekoran kematian idola dan mentornya, Gary Speed yang juga merupakan pengurus skuad kebangsaan Wales pada 26 November 2011.

Musim 2012/13 menyaksikan peranan Ramsey dalam skuad Arsenal berubah lantaran pemergian Alex Song ke Barcelona dan kehadiran playmaker Malaga CF, Santi Cazorla. Pemain antarabangsa Wales ini lebih banyak bertindak selaku box-to-box midfielder berbanding sebelum ini beraksi di posisi attacking midfielder dan winger. Aaron Ramsey diberi peranan bertahan di bahagian tengah padang bersama-sama Mikel Arteta.

Peranan yang dimainkan olehnya menyaksikan Arsenal berjaya membantu mengukuhkan bahagian pertahanan terutama di penghujung musim dengan menyaksikan skuad bimbingan Arsene Wenger meraih 26 mata dalam 10 perlawanan sekaligus berjaya mengesahkan slot beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Pemain tengah versetail ini turut cemerlang ketika membantu The Gunners menewaskan juara Eropoh 2012/13, Bayern Munich 2-0 di Allianz Arena.

Dengan peranan baru sebagai free role serta kerja kerasnya, Ramsey berjaya menghasilkan 1.8 peluang dan 87.1% hantaran sempurna secara purata setiap perlawanan musim ini. Malah, pemain berusia 22 tahun muncul selaku pemain yang melakukan terjahan sempurna paling tinggi di Eropah dengan 90.74% mengatasi bintang tengah Bayern, Javi Martinez yang hanya mencatatkan 82% sahaja. Peningkatan prestasi Ramsey ini berjaya menepis kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya.

Dengan menandatangi kontrak jangka masa panjang bersama Arsenal pada pertengahan Disember lalu, Ramsey bakal membentuk gandingan mantap bersama Jack Wilshere, Theo Walcott, Alex Oxlade-Chamberlain, Kieran Gibbs dan Carl Jenkinson selaku tonggak masa depan The Gunners. Keyakinan dan keupayaannya tampak semakin meningkat setiap perlawanan sekaligus bakal menjadi pemain berkelas dunia suatu hari nanti.

One Aaron Ramsey….

This entry was posted in Informasi and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply