[ARTIKEL] MIMPI NGERI KECEDERAAN ANTERIOR CRUTIATE LIGAMENT

Abou-Diaby-chronical-injuryKecederaan anterior cruciate ligament (ACL) sering kali menjadi episod hitam dan mimpi ngeri dalam karier seseorang ahli sukan termasuklah pemain-pemain bola sepak. Lazimnya, kecederaan ACL berpunca dari pergerakan memusingkan badan secara tiba-tiba atau perlanggaran fizikal. Selain aktiviti bersukan, kecederaan di tempat kerja dan kemalangan jalan raya juga boleh mengakibatkan kecederaan ACL.

Apa itu Anterior Cruciate Ligament?

Lutut merupakan sendi penghubung di antara tulang paha (femur) dan tulang betis (tibia). Ligamen adalah struktur pada lutut yang memegang tulang femur dan tibia dan menolong mengawal pergerakan sendi. Terdapat dua ligamen yang berada di tengah lutut iaitu anterior cruciate ligament (ACL) dan posterior cruciate ligament (PCL) yang masing-masing berukuran antara 2.5 – 3.5cm panjang.

knee-anatomyLigamen ini berfungsi memegang sendi lutut dengan kukuh agar ia stabil ketika lutut digerakkan. Kestabilan ligamen ini penting supaya pergerakan lutut berfungsi dengan lancar dan licin. Oleh kerana kedua-dua ligamen ini berkedudukan menyilangi antara satu dengan lain dan membentuk seperti huruf ‘X’ maka ia dinamakan ‘cruciate’.

ACL adalah salah satu ligamen terpenting pada lutut. Ia berfungsi untuk mengawal sejauh mana tulang tibia bergerak ke hadapan, relatif kepada tulang femur. ACL adalah penting bagi mengelak pergerakan yang terlalu ke hadapan yang boleh menyebabkan kecederaan pada struktur lain dalam lutut.

Simpton Kecederaan ACL

Kebiasaanya, kecederaan ACL berlaku apabila kedengaran bunyi ‘pop’ semasa melakukan aktiviti sukan atau lasak disusuli dengan lutut yang mulai membengkak selepas beberapa jam kemudiannya. Ketika itu, kesakitan mula dirasai jika pesakit meletakkan beban ke atas kakinya atau berlaku kurang keseimbangan pada kaki serta betis seakan-akan terkeluar ketika berjalan.

Rawatan dan Langkah Pemulihan

bacary-sagna-injured-vs-tottenham-oktober-2011Pada peringkat awal, pemain yang mengalami kecederaan ACL perlu dibawa keluar dari permainan dan dibaringkan dengan bahagian kaki yang cedera ditinggikan pada paras abdomen. Tuaman ais di bahagian lutut yang cedera pula perlu dilakukan untuk mengurangkan bengkak yang berterusan. Balutan sementara boleh digunakan dan tidak terlalu ketat dan anduh atau tongkat boleh digunakan bagi memudahkan pesakit berjalan semula.

Ubat tahan sakit (painkillers) boleh diambil untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak jika perlu. Sekiranya bengkak keterlaluan, pembedahan kecil mengeluarkan cecair/darah dari lutut adalah perlu untuk mengurangkan kesakitan dan kerosakan berterusan kepada lutut berkenaan, selain memperbaiki pergerakan lutut. Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan dengan menggunakan teknik imbasan MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan sebagainya bagi menentukan tahap kecederaan seseorang pesakit itu.

Pada peringkat pertengahan pula, penggunaan ais boleh diteruskan dalam sela beberapa masa yang sesuai dan pendakap lutut boleh digunakan bagi memberikan kestabilan sementara kepada lutut. Penggunaan ais dan pendakap adalah sekurang-kurangnya selama enam minggu. Dalam masa yang sama, otot-otot paha hendaklah dikuatkan melalui fisioterapi dan julat pergerakan lutut diperbaiki untuk mengelakkan ketegangan pada lutut.

Namun, langkah pemulihan terbaik kecederaan ACL ialah dengan melakukan pembedahan rekonstruksi ligamen ACL secara artroskopik menggunakan ligamen autocantuman/autograft (Arthroscopic ACL Reconstruction). Kebiasaannya, pembedahan ini akan memakan masa satu hingga satu setengah jam melibatkan rekonstruksi atau pembinaan semula gantian kepada ACL menggunakan ligamen autograft atau ligamen lain sekitar lutut pesakit.

Sebelum pembedahan dilakukan, program rehabilitasi bertujuan untuk mengurangkan bengkak, mendapatkan pergerakan penuh sendi lutut dan menguatkan otot yang berada di sekitar sendi lutut terutama otot paha (kuadriseps). Bagi pesakit yang mengalami kecederaan ACL kali pertama, pembedahan rekonstruksi ACL hanya akan dilakukan selepas enam minggu untuk mengelakkan lutut daripada mengalami artrofibrosis (lutut mengeras dan tidak dapat membengkok) jika dilakukan terlalu awal.

Pembedahan ini perlu dilakukan kerana ligamen ACL yang koyak tidak boleh sembuh dengan sendiri atau dijahit semula. Ia perlu digantikan dengan tisu lain pesakit yang boleh mengambil alih fungsi ACL yang asal. Pembedahan dilakukan supaya tisu yang menggantikan ACL tumbuh pada kedudukan yang sama dengan ACL yang lama dan dengan itu dapat berfungsi sebagaimana biasa. Matlamat selepas pembedahan, pesakit akan mendapat lutut yang kuat dan stabil serta berupaya membengkokkan lutut secara penuh.

Selepas pembedahan, pesakit perlu mengikuti beberapa rutin bagi memastikan fungsi lutut dapat kembali pada tahap normal selain bertujuan mengurangkan kesakitan dan bengkak pada lutut. Pesakit akan dilatih untuk meluruskan lutut dengan senaman yang sesuai. Senaman seperti mengangkat kaki secara lurus dan kuadriseps statik adalah penting dimulakan awal supaya lutut tidak akan mengeras dalam keadaan bengkok.

Senaman tersebut juga membantu merangsangkan kuadriseps untuk menjadi kuat dan mengembalikan saiz dan kekuatan asal otot tersebut. Dalam fasa ini juga pesakit akan dilatih untuk membengkokkan lutut secara berperingkat-peringkat menggunakan senaman yang sesuai dan peralatan seperti pergerakan pasif berterusan (continuos passive motion/CPM).

Fasa seterusnya melibatkan latihan lutut untuk berada dalam kedudukan lurus, mengawal bengkak lutut, meningkatkan kedudukan lutut semasa membengkok kepada 130 darjah, meningkatkan kekuatan kuadriseps kepada 65 peratus kekuatan otot paha sebelah yang normal dan memulakan aktiviti sukan yang spesifik. Pelbagai kaedah senaman dan peralatan akan diajar dan digunakan oleh ahli fisioterapi bagi mencapai matlamat di atas.

Kedua-dua fasa di atas adalah penting untuk mengelakkan otot paha daripada mengecut dan mendapatkan kembali pergerakan lutut untuk membengkok. Sesi fisioterapi adalah penting supaya sebarang masalah dapat dikenal pasti oleh doktor dengan awal dan fisioterapi boleh menggunakan kaedah peralatan dan senaman yang sesuai untuk mengatasi masalah tersebut. Pesakit perlu memberikan kerjasama yang baik dan mempunyai keazaman yang kuat untuk kembali aktif.

Selepas rawatan fisioterapi di hospital, pesakit juga perlu melakukan senaman di rumah mengikut kaedah dan bilangan ulangan senaman yang diajar. Jika teknik yang betul dan bilangan yang diarahkan dibuat oleh pesakit, peralatan seperti perangsang otot-otot elektronik tidak diperlukan untuk menguatkan otot. Pesakit perlu berbincang dengan doktor jika masih sukar untuk membengkokkan atau meluruskan lutut walaupun telah menjalani program rehabilitasi yang lengkap.

** Untuk maklumat lanjut, sila dapat maklumat dari doktor dan pakar-pakar fisioterapi.

Incoming search terms:

  • fisioterapi ligamen koyak
  • kaki tak boleh lurus selepas pembedahan
  • pendakap lutut
  • senaman sebelum pembedahan Acl
  • senaman selepas pembedahan lutut
  • tak dapat bersenam acl
  • tulang lutut terkeluar
This entry was posted in Artikel and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply