[PERLAWANAN] HARIMAU MALAYA BERJAYA JINAKKAN YAMAN

Malaysia-vs-Yaman-2013Harimau Malaya kembali mengaum di Stadium Shah Alam selepas berjaya menewaskan Yaman 2-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 semalam. Kejayaan semalam menamatkan rentetan kekalahan dalam empat perlawanan terdahulu termasuk tewas 2-0 kepada Qatar dalam aksi pembukaan kelayakan Piala Asia 2015 pada 6 Februari lalu. Kemenangan ke atas Yaman pastinya melegakan pengendali skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagopal yang dipalit kontroversi dan dihambur kritikan demi kritikan kebelakangan ini.

K. Rajagopal membariskan kesebelasan terbaik dengan Khairul Fahmi Che Mat kembali mengisi posisi selaku penjaga gol. Aidil Zafuan dan Fadhli Shas membentuk gandingan selaku pertahanan tengah dibantu oleh Mahali Jasuli di posisi bek kanan serta Asraruddin Putra Omar memainkan peranan selaku bek kiri. Sementara itu, K. Gurusamy kembali ke dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan selaku defensive midfielder.

Kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim kekal selaku perancang utama di bahagian tengah dibantu oleh Wan Zack Haikal di bahagian sayap kanan manakala Azzamudin Akil pula di posisi sayap kiri. K. Rajagopal mempertaruhkan dua penyerang bagi merobek gawang Yaman dengan Amri Yahya bertindak selaku back up striker kepada Norshahrul Idlan Talaha terus kekal selaku targetman lantaran kecederaan yang menimpa Safee Sali.

Malaysia bermula gawang dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu Yaman dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 10,000 penyokong menerusi gandingan Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan. Paling mencuri tumpuan pastinya kelibat Mahali Jasuli yang layak dianugerahkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas kerap mengkucar-kacirkan pertahanan Yaman melalui gerakan berbahaya di sebelah kanan bersama Wan Zack Haikal.

Namun, Harimau Malaya dikejutkan dengan gol pendahuluan menerusi jaringan Ayman Saleh Al-Hagri yang berjaya memperdaya dua pemain negara sebelum melakukan sepakan lambung cantik menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-12. Tiga minit berselang, Ayman Saleh sekali lagi hampir menghukum kesilapan pemain pertahanan namun kali Khairul Fahmi lebih bersedia menghalang percubaan penyerang berusia 20 tahun itu.

Norshahrul Idlan melepaskan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan selepas gagal menyambut hantaran lintang Mahali Jasuli. Jaringan penyamaan yang dicari-cari akhirnya menjelma selepas hantaran lintang Mahali Jasuli gagal dikeluarkan oleh pertahanan Yaman lalu singgah di kaki Azzamudin Akil. Penyerang kelahiran Pahang itu tidak mempersia-siakan peluang dengan menolak masuk gol penyamaan Malaysia pada minit ke-27.

Peluang terbaik skuad negara menggandakan jaringan hadir sebanyak dua kali pada minit ke-31 dan 42 namun percubaan Fadhli Shas dan Norshahrul Idlan namun berjaya ditepis penjaga gol Yaman, Saleem Abdullah. Malaysia sekali lagi kecewa selepas penyerang veteran, Amri Yahyah hampir merobek gawang Yaman namun tandukannya pada minit-minit akhir separuh masa pertama sedikit tersasar meskipun Salem Abdullah sudah tertewas.

Babak kedua memperlihatkan penguasaan Harimau Malaya namun pasukan pelawat sekali-sekala turut mencemaskan pertahanan negara melalui serangan balas pantas yang diterajui ketua pasukan, Akram Hamood Abdo Al-Wrafi dan Ayman Salleh. Norshahrul Idlan paling hampa apabila gagal menyempurnakan deretan peluang terhidang terutama peluang keemasan pada minit ke-74 selepas gawang Yaman terbuka luas namun percubaan penyerang berusia 26 tahun gagal menemui sasaran.

Percaturan K. Rajagopal membawa masuk Khyrill Muhymeen mengantikan Amri Yahyah berjaya menambah sengat di barisan hadapan skuad kebangsaan. Pemain paling bernilai Liga Malaysia tiga musim berturut-turut itu sekali lagi melepaskan satu peluang mudah dengan sepakannya tersasar ke arah kanan selepas bola muntah rembatan Khyril Muhymeen yang dapat ditampan Saleem Abdullah.

Norshahrul Idlan akhirnya berjaya menebus kehampaannya dengan melakukan hantaran lintang cantik yang berjaya ditanduk kemas oleh Khyril Muhymeen pada minit ke-80 untuk Malaysia mendahului 2-1 disambut 10,000 penyokong yang hadir di Stadium Shah Alam. Selepas itu, K. Rajagopal membawa masuk Badhri Radzi dan Ashaari Shamsudin bagi menambah tenaga untuk mengekalkan momentum serangan pasukan kebangsaan.

Meskipun, Yaman cuba bangkit mengasak gawang Malaysia bagi memburu gol penyamaan namun pertahanan negara ampuh bertahan. Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus menghidupkan peluang Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia 2015. Dalam satu lagi perlawanan, Bahrain berjaya menewaskan Qatar 1-0 di Stadium Nasional Bahrain untuk kekal menerajui kumpulan D.

This entry was posted in Perlawanan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply