[LIGA MALAYSIA] RANGKUMAN LIGA SUPER 2013 – PERLAWANAN KE-9

kelantan-vs-darul-takzim-15113Johor Darul Takzim FC berjaya merampas tahta Liga Super 2013 buat kali pertama selepas mengenepikan cabaran Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hujung minggu lalu. Namun, skuad Harimau Selatan terpaksa menanti 7 minit terakhir untuk menjaringkan dua gol bagi memadam jaringan awal skuad Hoben Jang Hoben sekaligus mengembirakan 30,000 penyokong yang memenuhi stadium.

Perlawanan bermula rancak sebaik sepak mula dengan penguasaan lebih memihak kepada skuad bimbingan Fandi Ahmad yang memiliki pemain-pemain berstatus bintang. Sebaliknya, Negeri Sembilan terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi kapten pasukan, Rashid Mahmud yang berjaya menewaskan penjaga gol Darul Takzim FC, Mohd Zamir Selamat pada minit ke-28. Tersentak dengan gol tersebut, Fandi Ahmad melakukan dua pertukaran iaitu membawa masuk Nurul Azwan menggantikan Mohd. Tuah Iskandar pada minit ke-35 dan Mohd Akram Mahinan menggantikan Norshahrul pada minit ke-39.

Usaha keras Harimau Selatan untuk memburu gol membuahkan hasil apabila Kamarul Afiq berjaya menyamakan kedudukan selepas menanduk bola hasil hantaran Simone Del Nero pada minit ke-83. Namun, kerancakan perlawanan terpaksa dihentikan ekoran gangguan asap yang terhasil daripada mercun dan bunga api yang dibakar oleh penyokong Johor. Nurul Azwan Roya menceriakan penyokong-penyokong tuan rumah menerusi jaringan kemenangan pada minit ke-90.

Di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan terselamat selepas Keita Mandjou berjaya menjaringkan gol penyamaan dua minit sebelum perlawanan tamat. Perak bermula garang dengan menjaringkan gol pertama perlawanan menerusi Abdul Hadi Yahya yang menerima umpanan daripada Karim Rouani seawal minit ke-3. Tersentak dengan jaringan pelawat, The Red Warriors kembali mengatur rentak namun rembatan kencang Indra Putra pada minit ke-8 sedikit melewati palang.

Perak hampir menambah jaringan dalam situasi kelam kabut di hadapan gawang Kelantan namun Khairul Fahmi Che Mat tangkas menyelamatkan keadaan. Skuad bimbingan Bojan Hodak teru hampa apabila jaringan Keita Mandjou pada minit ke-16 dibatalkan kerana offside. Penjaga gol Perak, Farizal Marlias sekali cemerlang menafikan rembatan kencang Indra Putra untuk kedudukan 0-1 kekal hingga tamat separuh masa.

Sebaik babak kedua bersambung, Kelantan melakukan pertukaran dengan membawa masuk Faiz Subri menggantikan Khairul Izuan Rosli bagi menambah sengat di barisan hadapan. Farizal terus cemerlang menafikan percubaan Zairul Fitree Ishak sementara tandukan Keita Mandjou dinafikan oleh palang. Selepas berusaha keras, akhirnya gol yang dinanti-nanti hadir menerusi tandukan bekas penyerang import Perak, Keita Mandjou pada minit ke-88 untuk kedua-dua pasukan sekadar berpuas hati dengan 1 mata.

KEPUTUSAN PENUH LIGA SUPER 2013 – PERLAWANAN KE-9

Jumaat (1 Mac 2013)

Kelantan 1- 1 Perak
[0-1] Abdul Hadi Yahya 3′
[1-1] Keita Mandjou 88′

ATM 0 – 0 Pahang

Sabtu (2 Mac 2013)

FELDA United 0 – 0 LIONS XII

Darul Takzim FC 2 – 1 Negeri Sembilan
[0-1] Rashid Mahmud 28′
[1-1] Kamarul Afiq Kamarudin 83′
[2-1] Nurul Azwan Roya 90′

PKNS 0 – 2 Terengganu
[0-1] Emmanuel Effa Owona 7′
[0-2] Abdul Manaf Mamat 25′

Selasa (5 Mac 2013)

T-Team 0 – 0 Selangor

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply