[HOKI] MALAYSIA TEWAS PENUH MARUAH DI PERLAWANAN AKHIR

Malaysia-Australian-final-Sultan-Azlan-Shah-Cup-2013Impian Malaysia untuk meraih kejuaraan sulung Piala Sultan Azlan Shah berkecai ketika perlawanan berbaki 4 saat. Jaringan Trent Milton berjaya membantu Australia menewaskan Malaysia 3-2 dalam perlawanan akhir sekaligus merangkul kejuaraan ke-7 pada saingan edisi ke-22 di Stadium Azlan Shah Ipoh semalam. Kegagalan itu menyaksikan Malaysia melebarkan penantian untuk meraih kejuaraan sejak 22 tahun yang lalu.

Lebih 15,000 penyokong tempatan yang memenuhi setiap ruang Stadium Azlan Shah telah memberi sokongan padu kepada para pemain Malaysia untuk menambahkan jaringan. Kejohanan edisi ke-22 itu melakar sejarah apabila lebih 3,000 penonton tidak boleh masuk ke dalam stadium dan terpaksa menyaksikan perlawanan akhir di layar besar yang dipasang luar stadium tersebut.

Keazaman dan kesungguhan pemain Malaysia untuk mengukir sejarah terserlah sejak kejohanan bermula dengan mempamerkan aksi bertenaga dan konsisten untuk mara ke perlawanan akhir bertemu Australia. Anak buah Paul Revington bermula garang dengan mengasak ke kubu Kookaburras sebaik perlawanan bermula dan memerlukan empat minit untuk mendahului menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Faizal Saari.

Tersentak dengan jaringan tersebut, juara Piala Dunia 2010 itu  bangkit mengatur asakan ke gawang Malaysia namun kecekapan penjaga gol negara, S. Kumar berjaya menidakkan harapan Kookaburras untuk menyamakan kedudukan melalui rembatan kencang Daneil Beale pada minit ke-11. Australia menyamakan kedudukan melalui pukulan deras sudut penalti yang dilakukan oleh Nicholas Budgeon pada minit ke-29.

Australia terus mengandakan jaringan menerusi jaringan padang Craig Boyne seminit berselang untuk pasukan yang berada di ranking kedua dunia itu mendahului 2-1 hingga tamat babak pertama. Sekembalinya dari rehat, Malaysia terus mengandakan asakan bagi memburu gol penyamaan dan berjaya memperolehi pukulan sudut penalti pada minit ke-38 dan 40 namun gagal disempurna dengan baik.

Pasukan bimbingan Paul Revington akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil tolakan oleh Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-49 setelah menerima hantaran silang daripada Muhammad Marhan. Perlawanan antara kedua-dua pasukan semakin rancak bagi mendapatkan gol kemenangan. Namun, impian Malaysia berkecai apabila Trent Milton muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan 4 saat sebelum perlawanan ditamatkan.

Meskipun berada di ranking ke-13 FIH, namun Malaysia berjaya mempamerkan aksi yang memukau sepanjang kejohanan meskipun berhadapan pasukan yang memiliki ranking lebih baik seperti Australia (2), Pakistan (5), New Zealand (6), Korea Selatan (8) dan India (11). Malah, prestasi Malaysia dalam kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2013 dianggap terbaik lantaran berjaya mengikat Australia pada peringkat kumpulan sebelum tewas tipis di perlawanan akhir.

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN AKHIR PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2013

Malaysia 2 – 3 Australia
[1-0] Faizal Saari 4′
[1-1] Nicholas Budgeon 29′
[1-2] Craig Boyne 30′
[2-2] Tengku Ahmad Tajuddin 49′
[2-3] Trent Milton 69′

Juara : Australia
Naib Juara : Malaysia
Fair-play : Korea Selatan
Pemain Terbaik Perlawanan Akhir : Trent Mitton (Australia)
Pemain Terbaik Kejohanan : Muhammad Razie Abd Rahim (Malaysia)
Penjaring Terbanyak (6 gol) : Faizal Saari (Malaysia) & Rapindal Pal Singh (India)
Penjaga Gol Terbaik : S. Kumar

This entry was posted in Hoki and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply