[HOKI] MALAYSIA MENERUSKAN KECEMERLANGAN TUNDUKKAN NEW ZEALAND

Malaysia-vs-New-Zealand-hockey-Mac-2013Malaysia meneruskan rentak kemenangan dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2013 di Stadium Azlan Shah, Ipoh dengan menewaskan juara bertahan, New Zealand 2-1 semalam. Chua Boon Huat dan Tengku Ahmad Tajuddin menyumbang gol pada babak kedua selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada babak pertama. Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kedua dengan 6 mata, hanya dibezakan jumlah jaringan dengan Australia.

Meskipun berhadapan dengan New Zealand yang berada di ranking ke-6 dunia manakala Malaysia pula di kedudukan ke-13 namun skuad bimbingan Paul Revington mempamerkan kesungguhan dan keberanian serta disiplin taktikal yang tinggi untuk mengimbangi corak permainan The Kiwi. Asakan Malaysia bermula seawal minit ke-2 menerusi hantaran lintang Tengku Ahmad Tajuddin namun gagal disambar kemas oleh Faizal Saari.

New Zealand turut mncipta peluang memecah kebuntuan pada minit ke-10 namun berjaya dinafikan oleh S. Kumar. Malaysia terus disajikan dengan banyak peluang keemasan tetapi gagal disempurnakan oleh barisan penyerang skuad kebangsaan. Peluang terbaik Malaysia hadir namun percubaan Chua Boon Huat pada minit ke-25 sedikit tersasar. New Zealand sekali lagi hampa selepas gagal memanfaatkan pukulan sudut penalti pada minit ke-30.

Perubahan taktikal yang dilakukan oleh Paul Revington pada separuh kedua menyaksikan anak buahnya bangkit daripada persembahan kurang berkesan pada separuh masa. Chua Boon Huat akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-40 apabila menguis hantaran Muhammad Marhan untuk menewas penjaga gol New Zealand, Devon Manchester. Empat minit berselang, giliran Tengku Ahmad Tajuddin menemui sentuhan gol untuk Malaysia selesa mendahului 2-0.

Skuad Kiwi terus hampa apabila jaringan Arun Panchia pada minit ke-53 dibatalkan oleh pengadil dari Afrika Selatan, John Wright kerana pertahanan Malaysia, Baljit Singh terlebih dahulu dikasari oleh pemain lawan. New Zealand akhirnya berjaya merapatkan jurang gol apabila Shay Neal menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-65 namun gagal untuk menghalang kemenangan 2-1 Malaysia.

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 2 – PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2013

Ahad, 10 Mac 2013

Australia 6 – 0 Pakistan
[1-0] Daniel Mirecki 8′
[2-0] Matt Gohdes 9′
[3-0] Jacob Whetton 17′
[4-0] Jacob Whetton 34′
[5-0] Daniel Beale 45′
[6-0] Nicholas Budgeon 61′

India 1 – 2 Korea Selatan
[0-1] Kweon Kang Moon 29′
[1-1] Malak Singh 39′
[1-2] Kweon Kang Moon 60′

Malaysia 2 – 1 New Zealand
[1-0] Chua Boon Huat 40′
[2-0] Tengku Ahmad Tajuddin 44′
[2-1] Shay Neal 65′

This entry was posted in Hoki and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply