[HOKI] MALAYSIA CIPTA KEJUTAN BERJAYA IKAT AUSTRALIA

Australia-vs-Malaysia-hockey-Mac-2013Skuad bimbingan Paul Revington terus mempamerkan peningkatan apabila berjaya mengikat Australia yang kini berada di rangking ke-2 dunia pada perlawanan ketiga Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2013 di Stadium Azlan Shah, Ipoh. Jaringan lewat penyerang muda negara, Faizal Saari 45 saat sebelum perlawanan ditamatkan berjaya memadam gol awal Trent Mitton pada minit ke-34 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Anak-anak buah jurulatih Paul Revington berjaya mempamerkan permainan bertenaga dan pantas apabila berdepan juara enam kali, Australia dan hampir memperoleh gol awal namun percubaan Faizal Saari menerusi pukulan sudut penalti gagal menemui sasaran pada minit ke-4. Skuad Kanggaroos turut menguji gawang Malaysia pada minit ke-11 namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol kebangsaan, S. Kumar. Australia sekali lagi mengancam gawang Malaysia  menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-18 namun diselamatkan oleh S. Kumar.

Hasrat Malaysia mendapat gol pertama terhalang apabila cubaan berbahaya Mohammad Izad Hakim Jamaluddin pada minit ke-22 dinafikan oleh pertahanan Australia. Skuad kebangsaan terus hampa apabila Muhammad Marhan gagal menyempurnakan peluang keemasan meskipun berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Australian, Andrew Charter pada minit ke-25. Ketika perlawanan menuju rehat, Trent Mitton memanfaatkan kesilapan pertahanan Malaysia yang melakukan hantaran ke belakang yang tidak sempurna untuk Australia mendahului 1-0.

Sebaik babak kedua bersambung, Australian terus ghairah mengasak gawang Malaysia dan hampir membuah hasil apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 dan 49 namun S.Kumar mempamerkan ketangkasan untuk menghalang gawang Malaysia dari dibolosi. Penyerang berpengalaman negara, Chua Boon Huat pula gagal menguis masuk hantaran Azlan Misron pada minit ke-52 walaupun penyerang itu sudah berada di atas garisan gol Australia tanpa dikawal.

Penjaga gol Malaysia terus mempamerkan aksi yang menakjubkan apabila berjaya menafikan deretan peluang yang dimiliki oleh Australia untuk menambah jaringan termasuk percubaan Joshua Miller pada minit ke-55. Bermula daripada pukulan sudut penalti Muhammad Razie yang berjaya ditampan oleh penjaga gol Australia, Andrew Charter namun pantas disambar oleh Faizal Saari untuk menceriakan 10,000 penonton yang memenuhi Stadium Azlah Shah di Ipoh.

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 3 – PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2013

Selasa, 12 Mac 2013

Korea Selatan 0 – 3 New Zealand
[0-1] Hugo Inglis 4′
[0-2] Cory Bennett 12′
[0-3] Andy Hayward 42′

India 3 – 1 Pakistan
[0-1] Muhammad Waqas 4′
[1-1] Rupinder Pal Singh 5′
[2-1] Akashdeep Singh 9′
[3-1] Mandeep Singh 56′

Australia 1 – 1 Malaysia
[1-0] Trent Mitton 34′
[1-1] Faizal Saari 69′

This entry was posted in Hoki and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply