[HOKI] MALAYSIA, AUSTRALIA BERENTAP DI FINAL PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2013

malaysia-v-india-piala-sultan-azlan-shah-2013Malaysia berjaya mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2013 sebelum perlawanan terakhir menentang India selepas Australia berjaya menundukkan juara bertahan, New Zealand. Meskipun begitu, anak-anak buah Paul Revington menampilkan aksi terbaik dengan meneruskan prestasi cemerlang apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan selepas diikat seri 2-2 dengan India.

Kejayaan melayakan diri ke perlawanan akhir merupakan yang pertama sejak kali terakhir pada 2009 dan bakal bertemu dengan juara Piala Dunia 2010, Australia. Sejak diperkenalkan pada 1983, pencapaian terbaik Malaysia hanya berjaya muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah sebanyak 3 kali pada 1985, 2007 dan 2009. Sebaliknya, Australia yang kini berada di ranking kedua dunia berjaya muncul selaku juara sebanyak 6 kali pada 1983, 1996, 2004, 2005, 2007 dan 2011.

Dalam saingan edisi ke-22 Piala Sultan Azlan Shah tahun ini, Malaysia berada di prestasi terbaik untuk muncul juara selepas mempamerkan aksi yang konsisten dan meyakinkan. Perlawanan Malaysia-India bermula sengit disaksikan oleh 15,000 penonton yang membanjiri Stadium Azlan Shah namun penyerang negara, Faizal Saari membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti yang berjaya menewaskan penjaga gol India, P.R Sreejesh.

Namun begitu, India berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-20 apabila tolakan Mandeep Singh melampaui jangkau penjaga gol, S. Kumar. Separuh masa kedua menyaksikan penjaga gol negara yang beraksi cemerlang, S. Kumar direhatkan bagi menghadapi perlawanan akhir malam ini dan digantikan dengan Roslan Jamaluddin. Kelebihan itu dimanfaatkan oleh India yang berjaya menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti Rupinder Pal Singh pada minit ke-48.

Malaysia tidak mudah mengalah dengan melancarkan serangan bertali arus ke gawang India dan berjaya memperolehi gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti kontroversi pada minit-minit akhir perlawanan. Terdahulu, Australia membuktikan reputasi selaku juara dunia dengan menewaskan New Zealand 3-2 manakala satu lagi perlawanan menyaksikan Korea Selatan terikat 2-2 dengan Pakistan.

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 5 – PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2013

Sabtu, 16 Mac 2013

Korea Selatan 2 – 2 Pakistan
[0-1] Salman Hussain 17′
[1-1] Hyun Hye Sung 39′
[1-2] Abdul Haseem Khan 47′
[2-2] Muhammad Irfan (OG) 53′

Australia 3 – 2 New Zealand
[0-1] Jacob Smith 27′
[1-1] Jacob Whetton 38′
[2-1] Jacob Whetton 39′
[3-1] Matt Gohdes 42′
[3-2] Cory Bennett 56′

Malaysia 2 – 2 India
[1-0] Faizal Saari 6′
[1-1] Mandeep Singh 20′
[1-2] Rupinder Pal Singh 48′
[2-2] Faizal Saari 69′

This entry was posted in Hoki and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply