[HOKI] HASRAT MALAYSIA KE PERLAWANAN AKHIR TERTANGGUH

malaysia-v-pakistan-hockey-mac-2013Malaysia gagal mengesah tiket ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2013 selepas diikat Pakistan 2-2 di Stadium Azlan Shah, Ipoh semalam. Namun, skuad bimbingan Paul Revington ini masih berpeluang untuk mara ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak 2009 jika berjaya menewaskan India dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam esok.

Skuad hoki kebangsaan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dengan dua kemenangan dan dua seri dalam 4 perlawanan berada di tempat kedua berkongsi lapan mata dengan pendahulu, Australia yang hanya memiliki kelebihan jaringan. Malaysia kini bersaing dengan New Zealand yang berjaya menewaskan India selain Australia yang diikat seri 3-3 oleh Korea Selatan untuk meraih dua slot ke perlawanan akhir Ahad ini.

Kesungguhan skuad negara untuk menumpaskan Pakistan terpancar apabila semua pemain negara melakukan asakan sejak minit pertama permainan dan berjaya memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Faizal Saari menewaskan penjaga gol Pakistan, Imran Butt. Selepas itu, Pakistan mendapat tiga pukulan sudut penalti berturut-turut menyebabkan pertahanan Malaysia terpaksa bekerja keras mempertahankan pintu golnya.

Bagaimanapun, gawang Malaysia akhirnya bolos pada minit ke-15 apabila Muhammad Imran berjaya memanfaatkan pukulan sudut penalti keempat Pakistan. pukulan sudut pendek oleh Muhammad Imran pada minit ke-15 berjaya menumpaskan penjaga gol, S. Kumar untuk gol penyamaan. Jentera serangan Malaysia yang dibarisi oleh Faizal Saari, Chua Boon Huat dan Mohd Shahrun Nabil Abdullah terlepas beberapa peluang terbaik untuk menambah jaringan gol.

Awal separuh masa kedua, Pakistan bermula garang dengan mengasak kubu negara dengan serangan bertali arus namun anak-anak buah Paul Revington kembali berjaya mengimbangi perlawanan selepas 5 minit perlawanan bersambung. Malaysia dianugerahkan pukulan susut penalti keenam namun penjaga gol Pakistan, Imran Butt cemerlang menafikan percubaan Faizal Saari pada minit ke-40.

Akhirnya, Malaysia kembali ke depan apabila pukulan sudut penalti yang kencang oleh Muhammad Razie Abdul Rahim gagal ditepis oleh Imran Butt pada minit ke-52 sekaligus menceriakan 12,000 penyokong tempatan yang hadir memberi sokongan. Hasrat Malaysia untuk meraih tiga berkecai apabila percubaan Ali Shan gagal diselamatkan oleh S. Kumar pada minit ke-62 untuk kedudukan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan.

KEPUTUSAN PENUH PERLAWANAN 4 – PIALA SULTAN AZLAN SHAH 2013

Khamis, 14 Mac 2013

Australia 3 – 3 Korea Selatan
[0-1] Nam Hyun Woo 35′
[1-1] Joshua Miller 41′
[1-2] Nicholas Budgeon (og) 43′
[1-3] Lee Seung Il 55′
[2-3] Joshua Miller 58′
[3-3] Timothy Deavin 70′

New Zealand 2 – 0 India
[1-0] Andy Hayward 40′
[2-0] Cory Bennett 57′

Malaysia 2 – 2 Pakistan
[1-0] Faizal Saari 6′
[1-1] Muhammad Imran 15′
[2-1] Muhammad Razie 53′
[2-2] Ali Shan 62′

This entry was posted in Hoki and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply