[MOTO GP] ZULFAHMI BOLEH MENJADI JUARA DUNIA – JORGE LORENZO

zulfahmi-khairuddin-jorge-lorenzoPelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin menerima kejutan apabila dipertemukan dengan juara duna MotoGP, Jorge Lorenzo di Hotel Sama Sama semalam. Pelumba negara berusia 21 tahun baru kembali dari Valencia selepas menjalani sesi ujian pra-musim bersama pasukan barunya, KTM Red Bull Ajo sementara Jorge Lorenzo pula kini berada di Malaysia kerana menyertai sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang.

“Anda boleh menjadi juara dunia.” Itu kata juara Dunia MotoGP, Jorge Lorenzo yang mengiktiraf bakat dan kebolehan pelumba kelahiran Banting itu.

“Dia satu-satunya pelumba Malaysia yang beraksi dalam kejuaraan motosikal dunia sebab itu dia sangat terkenal Malaysia. Saya lihat Fahmi seperti bintang filem, semua orang kenal dia. Saya yakin dia mampu menjadi juara dunia satu hari nanti.”

Juara Dunia 2010 dan 2012 menegaskan bukan mudah untuk mencapai kejayaan sehebat Zulfahmi dan mengakui dirinya adalah peminat Zulfahmi. Pelumba kelahiran Palma, Sepanyol itu turut mengagumi Zulfahmi yang disifatkannya memiliki gaya tunggangan yang cukup lancar dan berbakat besar. Didorong atas rasa kagum terhadap Zulfahmi, Lorenzo sendiri meluahkan hasrat mengadakan sesi fotografi eksklusif bersama pelumba berusia 21 tahun itu dengan media pilihannya, semalam.

zulfahmi-ujian-pra-musim-valencia“Saya sukakan gaya tunggangan Fahmi yang begitu lancar. Dia juga memiliki gaya tunggangan yang selamat dan memiliki kelajuan,” kata juara dunia berusia 25 tahun itu.

“Jika dia mengekalkan disiplin yang tinggi dan fokus kepada kariernya, Fahmi mampu bergelar juara dunia tidak lama lagi. Dia memiliki ciri-ciri menjadi pelumba yang hebat.”

Namun Zulfahmi mengulas pujian Lorenzo terhadap dirinya yang disifatkan terlalu awal dan masih banyak perkara yang harus dibuktikan oleh dirinya. Pelumba kelahiran Banting, Selangor itu tidak pernah berasa dirinya popular sebaliknya Jorge Lorenzo yang sebenarnya memiliki nama besar di seluruh dunia.

“Jika hendak dibanding dengan saya, Lorenzo bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Lihat sahaja di negara ini, saya perhatikan ramai yang memakai helmet Lorenzo, saya tidak pula pernah melihat peminat yang menggunakan helmet saya,” kata pelumba Red Bull KTM Ajo itu.

This entry was posted in Permotoran and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply