[LUMBA BASIKAL] LTdL 2013 – PERINGKAT 2 (SERDANG – KUALA KANGSAR)

Stage-2-LTdL-2013Saingan peringkat kedua Le Tour de Langkawi 2013 bakal memulakan kayuhan dari Dataran Seri Serdang, Kedah pada pukul 3.00 petang menuju ke Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak yang dijangka tiba pada pukul 5.45 petang. Perlumbaan hari ini merupakan peringkat kedua terpendek sejauh 117.8km namun dijangka sukar kerana terpaksa melalui zon pendakian kategori 2 di Bukit Sumpitan, Perak (49.7km) selain tiga zon pecut di Selama (10.6km), Lenggong (70.1km) dan Kati (100.4km).

Perlumbaan hari ini bakal bermula di Serdang yang mendapat nama sempena nama pokok iaitu ‘Serdang’ dengan memiliki keluasaan 7.521 km2 merupakan sebuah bandar pentadbiran bagi daerah Bandar Baharu yang terletak di antara sempadan Perak dan Pulau Pinang. Daerah ini merangkumi kawasan seluas 269.3 km2 yang terdiri daripada tujuh mukim iaitu Serdang, Kuala Selama, Sungai Batu, Bagan Samak, Permatang Pasir, Sungai Kecil Ilir dan Relau.

Sementara itu, pelumbaan ini bakal menuju ke bandar di Raja Perak, Kuala Kangsar, terletak di hilir Sungai Kangsar yang mengalir ke Sungai Perak. Bandar ini merupakan bandar pentadbiran bagi daerah Kuala Kangsar. Asal usul nama Kuala Kangsar dipercayai bermula dari ‘Kuala Kurang Sa’ sempena 99 anak sungai yang mengalir dari hulu Sungai Perak kerana kurang satu untuk digenapkan menjadi seratus. Terdapat versi lain yang mengatakan Kuala Kangsar sempena nama pokok Kangsar (Hibiscus floccosus Mast).

Malay-College-Kuala-KangsarDestinasi penamat perlumbaan hari ini juga menarik di mana bakal berakhir di kolej terulung dan antara tertua di Malaysia. Kolej Melayu Kuala Kangsar atau Malay College Kuala Kangsar merupakan sekolah elit untuk anak-anak bangsawan dan raja-raja Melayu telah dibina pada tahun 1905 oleh pihak British atas perkenan Sultan Perak ke-28, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I. Sekolah ini sememangnya terkenal melahirkan ramai tokoh kemerdekaan, ahli politik, tokoh ekonomi dan perniagaan, para cendiakawan dalam pelbagai bidang di Malaysia.

Pelumba-pelumba bakal disajikan dengan panorama alam semulajadi serta kawasan pekan-pekan kecil merentasi kawasan Selama, Lenggong dan Kuala Kangsar. Laluan perlumbaan bakal melalui beberapa tempat perlancongan menarik termasuk Tasik Raban, kawasan arkeologi Lembah Lenggong (yang terkenal dengan Perak Man – penempatan manusia tertua di Semenanjung Malaysia), Masjid Ubudiah (Kuala Kangsar) dan Istana Kenangan (Kuala Kangsar).

This entry was posted in Lumba Basikal and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply