[LIGA MALAYSIA] RANGKUMAN LIGA SUPER 2013 – PERLAWANAN KE-6

Forkey-Doe-Selangor-vs-Kelantan-2013Perebutan tahta Liga Super 2013 semakin sengit ekoran kemenangan Selangor ke atas Kelantan dan kekalahan skuad Tok Gajah di tangan Lions XII sekaligus menyaksikan Red Giants merampas kedudukan teratas liga dengan 13 mata diikuti dengan Lions XII dan Pahang yang berkongsi 12 mata. Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Darul Takzim FC di kedudukan ke-4 dan ke-5 dengan 11 mata selepas 6 perlawanan.

Skuad bimbingan Irfan Bakti terus menghukum kelemahan pasukan Kelantan musim ini apabila muda menundukan juara trebel musim lalu, Kelantan disaksikan 30,000 penonton di Stadium Shah Alam. Kelantan yang masih tercari-cari rentak musim ini bermula tanpa kapten pasukan, Badhri Radzi yang kurang sihat yang digantikan oleh Zairo Anuar Zailani untuk mengemudi jentera tengah manakala Haris Safwan diberi tugas selaku penyerang tunggal.

Percaturan Bojan Hodak tampak kurang menjadi menyaksikan kerapuhan benteng Kelantan terserlah seawal minit ke-2 apabila Ahmad Solihin melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun berjaya ditampan oleh Khairul Fahmi Che Mat. Namun, gawang Red Warriors bolos juga apabila Forkey Doe bijak menghukum kealpaan pertahanan Kelantan menerusi tandukan selepas menerima hantaran silang Ramzul Zahini pada minit ke-12.

Selangor terus selesa apabila pemain import, Ramez Dayoub berjaya menjaringkan gol kedua apabila menanduk masuk sepakan percuma Mahali Jasuli dari sebelah kiri pertahanan Kelantan pada minit ke-26. Meskipun kedua-dua pasukan sering mengasak namun tiada jaringan tambahan terhasil menyaksikan kedudukan 2-0 kekal hingga ke wisel penamat. Kemenangan ini berjaya melonjak Selangor ke tangga teratas liga.

Sementara itu, Pahang terpaksa akur dengan kehebatan pasukan LIONS XII apabila tewas 0-3 di Stadium Jalan Besar, Singapura sekaligus gagal merampas kembali tahta liga daripada Selangor. Kelebihan beraksi di atas padang tiruan, skuad bimbingan V. Sundramoorthy berjaya menguasai permainan seawal minit pertama dengan melancarkan serangan bertali arus ke gawang Pahang yang dikawal oleh Mohd Nasril Nourdin.

LIONS XII akhirnya berjaya di depan menerusi sentuhan penyudah pemain pertahanan, Faris Ramli pada minit ke-12. Gawang Pahang bolos lagi pada minit ke-35 namun jaringan Fazrul Nawaz dibatalkan oleh pengadil kerana offside. Skuad Tok Gajah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 namun rembatan pemain sayap kebangsaan, Azammudin Akil sedikit tersasar.

Fazrul Nawaz sekali lagi kecewa apabila jaringannya pada minit ke-55 turut dibatalkan kerana offside pengadil manakala gol pemain Pahang, R. Gopinathan seminit kemudian turun dibatalkan atas kesalahan sama. Safuwan Baharudin berjaya meletakan LIONS XII selesa dengan 2-0 apabila menanduk masuk sepakan percuma pada minit ke-66. Fazrul Nawaz menambah derita pelawat menerusi gol ketiga LIONS XII pada minit ke-76.

Jaringan tunggal Daniel Guiza berjaya memberikan kemenangan 1-0 Darul Takzim FC ke atas T-Team di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. Skuad Harimau Selatan nyaris memperoleh gol pendahuluan seawal minit ke-3 namun percubaan Norshahrul Idlan diselamatkan oleh penjaga gol T-Team. Daniel Guiza akhirnya memecah kebuntuan apabila menguis masuk hantaran leret Nurul Azwan Roya pada minit ke-31.

Sebaik babak kedua, bersambung penguasaan seimbang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan dengan saling berbalas serangan. Caleb Forlan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-56 dan 63 namun berjaya diselamatkan penjaga gol, Mohd. Zamir Selamat. Jaringan Marzuki Yusof pada minit ke-65 pula dibatalkan kerana offside dan kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

KEPUTUSAN PENUH LIGA SUPER 2013 – PERLAWANAN KE-6

Jumaat (15 Februari 2013)

Terengganu 2 – 0 Perak
[1-0] Ashaari Samsudin 12′
[2-0] Emmanuel Effa-Owona 48′

Selangor 2 – 0 Kelantan
[1-0] Francis Forkey Doe 12′
[2-0] Ramez Jamal Dayoub 26′

FELDA United 1 – 3 PKNS FC
[0-1] Helmi Rameli 28′
[1-1] Mohammed Ghaddar 33′
[1-2] Patrick Ronaldinho 44′
[1-3] Mohd Nazrin Syamsul 55′

LIONS XII 3 – 0 Pahang
[1-0] Faris Ramli 14′
[2-0] Safwan Baharuddin 65′
[3-0] Fazrul Nawaz 77′

Darul Takzim FC 1 – 0 T-Team
[1-0] Daniel Guiza 31′

Negeri Sembilan 1 – 1 ATM
[1-0] Mohd Firdaus Azizul 34′
[1-1] Bruno Martelotto 89′

This entry was posted in Liga Malaysia and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply