[KOMENTAR] KEPULANGAN NAZMI FAIZ SATU LANGKAH KE BELAKANG?

nazmi-faiz-harimau-muda-vs-syriaKepulangan wonderkid Nazmi Faiz Mansor selepas 7 bulan berkelana di Portugal hangat diperkatakan serta menimbulkan pelbagai spekulasi kebelakangan ini. Pemain muda sensasi negara itu mengambil keputusan mengejut meninggalkan kelab Divisyen 1 Portugal, S.C Beira-Mar untuk kembali ke tanah air dengan menyertai kelab PKNS FC dalam saingan Liga Super apabila menandatangani kontrak selama 3 tahun kelmarin.

Nazmi Faiz Mansor muncul selaku pemain Malaysia pertama yang beraksi dalam Divisyen 1 Portugal apabila menandatangani kontrak selama 3 tahun dengan S.C Beira-Mar pada 21 Mei 2012. Harapan mengunung peminat-peminat tempatan untuk menyaksikan anak Malaysia beraksi di peringkat tertinggi dalam saingan bola sepak Eropah berkecai selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan membatalkan kontraknya bersama S.C Beira-Mar.

Keputusan Nazmi Faiz itu dilihat sebagai satu backward step atau langkah ke belakang dalam karier bola sepaknya namun pemain berusia 19 tahun itu menegaskan bahawa tindakan itu dibuat demi masa depannya selepas berbincang dengan ibu bapa dan agennya, Marco Guimaraes. Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Nazmi Faiz tanpa mengambil pendapat atau memaklumkan kepada badan induk bola sepak negara itu.

nazmi-faiz-beira-mar-u-19“Saya atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah menghubunginya (Nazmi) untuk kembali ke Malaysia bagi beraksi bersama Harimau Muda,” kata Ong Kim Swee baru-baru ini.

“Saya agak kecewa kerana ia adalah suatu tindakan yang mengejutkan oleh Nazmi dan saya agak terkejut dengan berita kepulangannya ke Malaysia.”

“Saya terkejut tetapi Nazmi kini seorang pemain professional dan mempunyai agen sendiri. Kami hanya boleh membantunya sahaja.”

“Saya tidak tahu sebab sebenar di sebalik perpindahannya.”

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nyata kecewa dengan situasi yang berlaku antara Nazmi Faiz dan S.C Beira-Mar. Tindakan anak kelahiran Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu dilihat merugikan selepas menyaksikan FAM bertungkus-lumus berusaha menghantar Nazmi Faiz beraksi di pentas Eropah. Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad turut terkejut dan enggan mengulas lanjut mengenai isu Nazmi Faiz ini.

“Kami (FAM) hantar dia (Nazmi) dengan cara baik, sepatutnya pulang juga perlu dengan cara baik, “ kata Datuk Azzuddin Ahmad.

“Sudah tentu ia mengejutkan kerana kami langsung tidak dimaklumkan.”

nazmi-faiz-sc-beira-marTimbul pelbagai persoalan yang mengaitkan kepulangan Nazmi Faiz ke Malaysia termasuk homesick. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi negeri sendiri merupakan pepatah yang sesuai mengambarkan situasi Nazmi Faiz ketika berada di perantauan. Jika pemain berusia 19 tahun itu mengalami homesick, ini merupakan langkah bijak untuk pulang sebentar mengubat kerinduan dengan kampong halaman sebelum kembali beraksi di pentas Eropah.

Antara alternatif lain untuk mengatasi masalah homesick ketika berada di perantauan dengan membawa seorang teman (mungkin dari kalangan ahli keluarga) atau tukang masak dari Malaysia sebagai pengubat kerinduan seperti yang dipraktikan oleh pemain-pemain Jepun dan Korea Selatan ketika mula-mula berkelana di Eropah. Mereka turut dibekalkan dengan penterjemah bagi memudahkan urusan sehari-harian di negara orang.

Isu homesick ini turut diakui oleh Sharon Wee yang pernah berkelana di Belanda dan Belgium sebagai cabaran utama ketika menjalani latihan intensif diluar negara. Bekas pemain squash wanita negara itu kini yang bertugas sebagai hos dan pengulas sukan di Astro 801 mengakui terkejut dengan kepulangan Nazmi yang dilihat melepas peluang keemasan mengembangkan karier di pentas Eropah. Sharon mengakui atlet Malaysia sememangnya mahu segera pulang ke tanah air lantaran rindu dengan keluarga, rakan-rakan, teman istimewa, masakan tempatan serta menghadapi masalah perbezaan cuaca dan bahasa.

Dalam suratnya kepada Nazmi Faiz, bekas atlet kebangsaan berusia 37 tahun turut memberikan kata-kata semangat kepada pemain muda bola sepak negara itu serta berharap agar Nazmi tidak cepat putus atas lantaran usianya yang masih muda. Selain itu, Sharon Wee turut memberi beberapa nasihat berguna buat atlet-atlet yang bakal beraksi di luar negara termasuk menguasai bahasa Inggeris, menyesuaikan diri dengan makanan Barat seperti salad, pasta, dan sandwich serta menjauhkan diri daripada kontroversi  peribadi.

Januari lalu, Nazmi Faiz dipalit kontroversi ekoran komen panas menerusi laman sosial twitter terhadap bekas teman wanitanya, Tengku Fiella yang turut mengaitkan pemain kebangsaan dan Darul Takzim FC, Aidil Zafuan Abdul Razak. Sementara itu, Mohd Fadzli Saari dan Juzaili Samion yang pernah beraksi bersama kelab Jerman, SV Wehen pada awal 2000 turut tidak bersetuju dengan tindakan pemain berusia 19 tahun yang dilihat sebagai satu kerugian kerana mempersia-siakan peluang keemasan beraksi di pentas Eropah.

nazmi-faiz-mansor-harimau-mudaBagi Juzaili Samion, dia bersetuju dengan pendapat jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang kecewa dan kurang bermotivasi untuk menghantar pemain muda beraksi ke luar negara bagi mengelakkan perkara sama berulang.

“Dia (Nazmi) pergi bawa harapan jutaan rakyat Malaysia yang mahu lihat kejayaan pemain negara di pentas tertinggi.

“Bukan senang nak dapat tawaran seperti ini dan pemain berkenaan kena terima setiap cabaran. Jadi keputusan pulang ke Malaysia boleh memberi kesan dan mungkin minat ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka bermain bola semakin berkurangan,” katan Juzaili Samion.

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang pernah beraksi bersama kelab Perancis, RC Strasbourg turut mengakui keputusan ini merugikan : “Kalau betul tekadnya untuk menjadi pemain bola sepak hebat di Eropah itu kuat, masalah kerinduan tanah air itu pun masih dapat diatasi. Bagi saya secara peribadi, satu kerugian besar apabila dia melepaskan peluang bermain di S.C Beira-Mar, Portugal dan berpatah balik untuk bermain di Malaysia. Eropahlah tempat terbaik untuk membina kerjaya sebagai pemain bola sepak.”

Terdapat sumber yang rapat mengatakan kepulangan Nazmi Faiz dikaitkan dengan masalah kewangan yang dihadapi oleh kelab berpangkalan di Aveiro, Portugal itu. Sumber tersebut menyatakan bahawa Nazmi Faiz hanya menerima €500 untuk tempoh 6 bulan yang menyukarkan kehidupannya di sana. Nazmi juga dikatakan terpaksa keluar dari kediamannya dan menumpang di rumah rakan sepasukan, kerana tidak mempunyai wang untuk membayar sewa.

Nazmi-Faiz-Mansor-sertai-PKNS-FCPerkara ini ada asasnya lantaran kenyataan Nazmi Faiz di media baru-baru ini dengan berkata, “Siapa yang umur seperti saya dan dapat peluang bermain di luar negara, pergi. Tapi, sebelum tu siasat dulu latar belakang kelab itu dulu.”

Difahamkan bapa Nazmi, Mansor Mustapha ada merujuk hal ini kepada FAM mengenai kemungkinan membawa anaknya pulang dan diserapkan kembali ke skuad Harimau Muda A kendalian Ong Kim Swee tidak lama sebelum ini. Bagaimanapun, FAM dikatakan sukar membayar yuran perpindahan buat Nazmi kepada S.C Biera-Mar yang dianggarkan sekitar €50,000 mendorong Mansor untuk berbincang dengan PKNS atas nasihat ejen Nazmi, Marco Guimareas.

Namun, kepulangan Nazmi Faiz ke Malaysia juga boleh dipandang dari aspek yang lebih positif. Pembangunan pemain muda sensasi negara ini boleh meningkat meskipun beraksi dalam Liga Malaysia dan keserasian bakal menjadi lebih baik. Kelibat pemain Malaysia yang beraksi di Eropah seperti Titus James Palani namun gagal untuk diserapkan ke dalam skuad kebangsaan. Begitu juga dengan aksi yang kurang menyengat Safee Sali sejak berkelana untuk beraksi di Liga Super Indonesia.

This entry was posted in Komentar and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply