[BERITA] PINTU CARDIFF CITY TERBUKA BUAT NAZMI FAIZ MANSOR

Nazmi-Faiz-Mansor-SC-Beira-Mar-2013Kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City percaya mereka mampu memberikan tempat kepada Nazmi Faiz untuk membuktikan kemampuannya beraksi di Eropah setelah pemain muda sensasi negara itu kembali ke tanah air selepas membatalkan kontrak 3 tahun bersama SC Beira-Mar. Terdahulu, kelab yang berpangkalan di Cardiff, Wales itu turut berminat menandatangani Nazmi Faiz sebelum dia menandatangani kontrak bersama SC Beira-Mar pada 21 Mei 2012.

Pengerusi Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan berkata beliau terbuka mengenai idea untuk membawa pemain Malaysia untuk bermain dengan kelab yang berpangkalan di ibu kota Wales itu bagi memperbaiki permainannya serta menaikkan imej pasukan bola sepak negara. Jutawan dari Malaysia itu bagaimanapun menambah beberapa perkara perlu menilai setiap situasi sebelum membawa Nazmi kembali ke luar negara memandangkan permit di Britain yang cukup ketat.

“Kami benar-benar sedang mempertimbangkan idea ini secara serius, seperti yang dilakukan terhadap pemain Malaysia yang lain. Kami sentiasa mengamalkan pintu terbuka untuk pemain negara menimba pengalaman di Cardiff City,” kata Tan Sri Vincent kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

nazmi-faiz-harimau-muda-vs-syria“Walau bagaimanapun, kami perlu melihat dan menilai situasi ini secara mendalam sebelum membuat sebarang keputusan memandangkan permit kerja di Britain cukup ketat.”

“Permit selalunya diberikan kepada pemain yang berasal dari negara yang mempunyai ranking ke-70 menurut FIFA.”

“Berkemungkinan Nazmi perlu bermain di kelab lain di Eropah, sebelum kami membawa beliau ke Cardiff dengan permit kerja bersesuaian,” katanya.

Sebelum ini, dua pemain kebangsaan Safee Sali dan Safiq Rahim pernah mengadakan percubaan dengan kelab dari Wales ini sementara Nazmi Faiz juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali bermain di luar negara jika terdapat peluang yang sesuai. Pemain muda negara itu dipalit dengan pelbagai kontroversi sejak kepulangan ke tanah air dari SC Beira-Mar.

This entry was posted in Berita and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply