[BERITA] PELUANG PIYA MASIH TERBUKA UNTUK HARIMAU MALAYA

Piya-Badhri-RadziPeluang buat Mohd Badhri Radzi untuk mewakili skuad kebangsaan masih belum tertutup apabila pengurus pasukan, Datuk Seri Subahan Kamal mengesahkan kapten Kelantan itu sebenarnya ada dalam perancangan Datuk K Rajagobal. Menurutnya, nama Badhri Radzi berada dalam senarai 34 pemain bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, Rabu depan, namun terpaksa diketepikan pada saat-saat akhir untuk memberi laluan kepada Mohd Amri Yahyah.

Ketiadaan pemain berusia 30 tahun itu yang mesra dipanggil ‘Piya’ dalam senarai pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan baru-baru ini hangat diperdebatkan. Beberapa jurulatih serta pemerhati dan peminat-peminat bola sepak tempatan berpendapat dan menganggap perancang tengah The Red Warrior yang menjulang kejuaraan trebel musim lalu seharusya berhak mendapat tempat berdasarkan prestasi semasa.

“Sebenarnya Piya didaftarkan jurulatih bagi kempen kelayakan Piala Asia kali ini. Namun selepas membuat penilaian, jurulatih memutuskan untuk memanggil Amri berbanding Piya kerana Amri dilihat boleh bermain lebih banyak posisi tengah, menyerang dan sayap,” kata Datuk Subahan Kamal.

badhri-radzi-piya-wira-kelantan“Buat masa ini jurulatih mahu memberi peluang kepada Amri dan Piya masih lagi boleh bermain pada perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Yaman dan Bahrain selepas ini.”

Amri sebelum ini tiada dalam senarai awal 26 pemain pelatih skuad kebangsaan, namun disebabkan Harimau Malaya kehilangan dua penyerang utama, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, pengalaman pemain Selangor berusia 32 tahun itu amat ditagih Rajagobal. Kemuncak isu ini tercetus apabila K. Rajagobal yang kehilangan ramai pemain cedera enggan menerangkan mengenai keputusannya untuk tidak memanggil Badhri, sebaliknya meminta bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu dan B. Sathianathan memberikan penjelasan.

Tapi, kenyataan pengendali negara itu dibidas Karathu yang meminta Rajagobal supaya tidak ‘cuci tangan’ memandangkan kuasa sebenar ada di tangannya. Bagaimanapun Subahan yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu isu ini ditolak ke tepi bagi membolehkan Rajagobal memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasukan menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2015 minggu hadapan.

This entry was posted in Berita and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply