[PERSPEKTIF] KAMI TIDAK AKAN MELEPASKAN PELUANG INI – ARTETA

Mikel-Arteta-Swansea-City-v-Arsenal-FA-Cup-2013Mikel Arteta menegaskan bahawa Arsenal tidak mahu melepaskan peluang untuk mara sejauh mungkin dalam saingan Piala FA musim ini. Skuad bimbingan Arsene Wenger bakal menghadapi perlawanan ulangan pusingan ke-3 selepas terikat 2-2 di Stadium Liberty pada Ahad lalu. Namun, pemain tengah berusia 30 tahun itu yakin The Gunners mampu menundukan kelab yang berpangkalan di selatan Wales itu dalam perlawanan ulangan di Stadium Emirates 16 Januari ini.

Arsenal cemas seketika apabila penyerang prolifik Swansea, Michu berjaya meledak gol pertama perlawanan pada minit ke-58 sebelum Lukas Podolski menyamakan kedudukan pada minit ke-81. Bek kiri Arsenal, Kieran Gibbs yang bijak membaca hantaran cantik Olivier Giroud berjaya melepasi kawalan pertahanan Swansea sebelum merembat kencang menewaskan Michel Vorm pada minit ke-83. Namun, kealpaan benteng pertahanan Arsenal menyaksikan Danny Graham kembali menyamakan kedudukan 3 minit sebelum perlawanan tamat.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk memenangi kejuaraan. Kami tidak akan melepaskannya,” kata Arteta kepada Arsenal Player.

“Kami berjaya mempamerkan peningkatan pada separuh masa kedua (menentang Swansea). Kami memiliki banyak peluang pada awal permainan tetapi hanya satu kesilapan, mereka (Swansea) berjaya menjaringkan gol.”

“Kami akan terus berusaha membuktikan kemampuan sebenar kami untuk mengembalikan perlawanan, menjaringkan gol dan mara. Tetapi sekali lagi melepaskan satu lagi gol mudah.”

“Saya merasakan kami merupakan pasukan yang lebih baik (berbanding Swansea). Kami mendominasi perlawanan tetapi mereka mencipta lebih banyak peluang. Kami berhak untuk menang jadi kami sangat kecewa.”

“Kami akan terus berusaha. Kami sangat kecewa dengan keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir yang sepatutnya kami menangi.”

Arsenal bakal mengharungi perlawanan-perlawanan sukar sepanjang bulan Januari apabila bakal menanti kunjungan  Manchester City pada 13 Januari dan Swansea pada 16 Januari di Stadium Emirates sebelum bertandang ke Stamford Bridge pada 20 Januari nanti. Jika berjaya menewaskan Swansea, The Gunners bakal menentang kelab Liga Kejuaraan, Brighton & Hove Albion dalam pusingan ke-4 pada 26 Januari ini.

This entry was posted in Perspektif and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply