[CORETAN] SUKA DUKA ARSENAL SEPANJANG 2012

Tirai 2012 dilabuhkan dengan pelbagai memori suka duka Arsenal sepanjang tahun sementara kehadiran 2013 diraikan dengan penuh harapan. Cabaran dan saingan tahun 2012 bakal menyaksikan Arsenal terus bersaing dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan. Dan pastinya episod suka duka sepanjang tahun 2012 akan terus tersemat di sanubari penyokong-penyokong Arsenal. Di sini Arsenal4u.com menyenaraikan 10 detik suka duka sepanjang tahun 2012.

1-Kepulangan Henry secara pinjaman ke Stadium Emirates – 9 Jan 2012

Penyerang lagenda Arsenal, Thierry Henry melakukan kepulangan sensasi bersama Arsenal secara pinjaman dari kelab MLS, New York Red Bulls selama 6 minggu bermula dari 6 Januari 2012 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Gervinho Yao dan Marouane Chamakh yang menjalani tugasan antarabangsa bersama negara masing-masing dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2012.

Henry melakukan debut kedua bersama Arsenal dalam saingan Piala FA 2012 menentang Leeds United apabila hadir selaku pemain gantian dan membuktikan dirinya masih berbisa apabila meledak gol kemenangan 1-0 Arsenal pada minit ke-78. Penyerang berusia 34 tahun berjaya meledak 2 gol dalam 7 perlawanan bersama The Gunners sebelum kembali bersama dengan New York Red Bulls pada 17 Februari 2012.

2-Arsenal bangkit membelasah Tottenham Hotspurs – 26 Feb 2012

Tottenham berjaya mendahului 2-0 dalam 34 minit pertama perlawanan menerusi jaringan Louis Saha dan Emmanuel Adebayor pada minit ke-4 dan 34 sebelum Bacary Sagna dan Robin van Persie berjaya menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa kedua. Anak-anak buah Arsene Wenger terus garang menambah 3 lagi gol pada separuh masa kedua menerusi Tomas Rosicky pada minit ke-50 serta dua gol Theo Walcott pada minit ke-65 dan 68 sekaligus mematikan semangat melawan Spurs.

3-Kebangkitan Arsenal membenam AC Milan di Stadium Emirates – 6 Mac 2012

Selepas dipalit duka ekoran kekalahan terus 4-0 kepada AC Milan di San Siro pada 15 Feb 2012, Arsenal pantang menyerah kalah apabila berjaya meledak 3 gol pada separuh masa pertama menerusi Laurent Koscielny (min-6), Tomas Rosicky (min-26) dan Robin van Persie (min-43). Namun, gol ke-4 yang ditunggu-tunggu bagi mengikat kedudukan aggregat 4-4 tidak kunjung tiba menyaksikan The Gunners akhirnya tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara Eropah musim 2011/12.

4-Pat Rice mengumumkan persaraan bersama Arsenal – 5 Mei 2012

Anak kelahiran Belfeast ini akhirnya berundur dari Arsenal selepas 44 tahun menabur bakti bersama The Gunners. Pat Rice memulakan kariernya bersama Arsenal pada 1964 ketika berusia 15 tahun dan berjaya menjulang kejuaraan berganda pada 1970/71 dan Piala FA pada 1979. Selepas bersara selaku pemain, Pat Rice menyertai barisan kejurulatihan Arsenal sebagai jurulatih skuad remaja Arsenal bermula pada 1984 hingga 1994 sebelum dilantik sebagai penolong pengurus kepada Arsene Wenger pada Oktober 1996.

5-Kemenangan dramatik ke atas West Bromwich Albion – 13 Mei 2012

Arsenal yang terdesak memburu kemenangan bagi menamatkan saingan di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris namun berdepan dengan saingan sengit dari West Brom di The Hawthorns. Yossi Benayoun membuka tirai jaringan pada minit ke-4 sebelum Shane Long dan Graham Dorrans pada minit ke-10 dan ke-15 berjaya meletakan The Baggies mendahului 2-1. Andre Santos berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 sebelum Laurent Koscielny meledak gol kemenangan pada minit ke-54. Meskipun, West Brom terus mengasak namun kedudukan 2-3 kekal hingga tamat perlawanan.

6-Pemergian Robin van Persie dan Alex Song – 15 Ogos dan 25 Ogos 2012

Setelah sekian lama dikaitkan dengan spekulasi perpindahan, Robin van Persie akhirnya meninggalkan Arsenal untuk menyertai Manchester United dengan bayaran perpindahan bernilai £24 juta. Penyerang berusia 29 tahun itu merupakan penjaring terbanyak Arsenal musim 2011/12 dengan meledakan 37 gol dalam 48 perlawanan dan pemenang Anugerah Kasut Emas EPL serta Pemain Terbaik PFA 2011/12.

Pemain tengah kental, Alex Song pula berhijrah ke Barcelona pada 25 Ogos dengan bayaran perpindahan bernilai £15 juta. Terdahulu, Arsenal berjaya membawa masuk 3 pemain berkelas dunia Lukas Podolski (Pemain Muda Terbaik Piala Dunia 2006), Olivier Giroud (Penjaring Terbanyak Ligue 1 musim 2011/12) dan Santi Cazorla (tonggak kejayaan skuad kebangsaan skuad kebangsaan Sepanyol) sedikit sebanyak berjaya mengubat kedukaan kehilangan Robin van Persie dan Alex Song.

7-Kepulangan sensasi Jack Wilshere dari kecederaan panjang – 27 Okt 2012

Pemain muda sensasi England, Jack Wilshere melakukan penampilan buat pertama kali apabila disenaraikan dalam kesebelasan utama menentang QPR selepas berehat lebih 14 bulan sejak 31 Julai 2011 kerana kecederaan lutut dan buku lali.

Kehadiran pemain berusia 20 tahun ini berjaya menambah sengat di bahagian jentera tengah The Gunners dan inspirasi kejayaan skuad bimbingan Arsenal Wenger menewaskan QPR 1-0 di Stadium Emirates.

8-Kebangkitan menakjubkan menewaskan Reading 5-7 – 30 Okt 2012

Arsenal ketinggalan 4-1 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Jason Roberts (min-12), Mikele Leigertwood (min-20), Noel Hunt (min-37) serta jaringan sendiri Laurent Koscielny (min-18) sebelum Theo Walcott merapatkan jurang pada minit ke-45. Namun, Arsenal memperkukuhkan pasukan dan berjaya mengikat kedudukan 4-4 menerusi gol Olivier Giroud (min-64), Laurent Koscielny (min-89) dan Theo Walcott pada minit-minit akhir perlawanan.

Berdasarkan format Piala Capital One, perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan menyaksikan Marouane Chamakh berjaya meledak 2 gol pada minit ke-103 dan 120 serta Theo Walcott berjaya melengkapkan hatriknya pada minit-minit akhir masa tambahan sekaligus memuktamadkan langkah Arsenal ke suku akhir walaupun Reading sempat menambah 1 gol menerusi Pavel Pogrebnyak pada minit ke-115.

9-Spurs tumpas 5-2 buat kali kedua di tangan Arsenal pada 2012 – 17 Nov 2012

Pertembungan dua musuh setempat ini berlangsung sengit apabila bekas penyerang Arsenal, Emannuel Adebayor berjaya meletakan Spurs mendahului 1-0 pada minit ke-10 sebelum dia dilayangkan kad merah 7 minit berselang.

Pertahanan Arsenal, Per Mertesacker akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-23 yang merupakan jaringan pertama pertahanan antarabangsa Jerman itu selepas 38 perlawanan sejak menyertai The Gunners pada musim panas 2011.

Arsenal terus garang menambah dua lagi gol menerusi Lukas Podolski pada minit ke-42 dan Olivier Giroud pada minit ke-45 untuk mendahului 3-1 menuju rehat. Santi Cazorla pula menambah derita Spurs dengan gol ke-4 pada minit ke-60 sebelum Gareth Bale berjaya merapatkan jurang pada minit ke-71. Theo Walcott berjaya melengkapkan kemenangan bergaya Arsenal dengan gol kelima pada minit ke-90.

10-Lima bintang masa depan Arsenal tandatangani kontrak – 19 Dis 2012

Arsenal berjaya melengkapkan perjanjian kontrak 5 bintang muda, Jack Wilshere (20), Aaron Ramsey (21), Kieran Gibbs (23), Alex Oxlade-Chamberlain (19) dan Carl Jenkinson (20) dengan menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama The Gunners semalam. Prospek masa depan Arsenal ini bakal menjadi tonggak utama dalam usaha meraih kejuaraan pertama sejak kali terakhir pada Mei 2005.

This entry was posted in Coretan and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply