[CORETAN] SHAQUEEL VAN PERSIE TIDAK SUKA MAN UNITED

Keputusan bekas penyerang prolifik Arsenal, Robin van Persie meninggalkan Stadium Emirates pada jendela perpindahan Ogos lalu telah mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Sebahagian daripada mereka meluahkan kemarahan dengan membakar jersi bernombor 10 milik Robin van Persie, ada juga yang melabelkannya sebagai pengkhianat dan kacang lupakan kulit.

Malah kecaman ini bukan sahaja datang daripada penyokong Arsenal tetapi turut hadir daripada anaknya sendiri, Shaqueel van Persie. Anak sulung Robin van Persie berusia 6 tahun nyata tidak suka dengan keputusan bapanya berhijrah ke Manchester United. Hal ini diungkapkan oleh isteri Robin van Persie, Bouchra yang melahirkan kebimbangan mengenai sikap anaknya yang tidak suka melihat Robin van Persie menyarung jersi United.

“Setiap kali perlawanan Manchester United, dia (Shaqueel) pasti akan menukar saluran televisyen,” kata Bouchra van Persie ketika ditemubual oleh laman FootAndBall.

“Shaqueel juga tidak suka melihat gambar Robin (van Persie) bersama Sir Alex Ferguson.”

Bouchra nyata cemas dengan situasi keretakan hubungan yang agak serius antara anak sulungnya dengan suaminya lantaran Shaqueel adalah seorang penyokong Arsenal.

Sementara itu, adik Shaqueel, Dina Layla juga sudah biasa dengan persekitaran di Arsenal dan masih menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di Old Trafford.

Namun sebaliknya, Robin van Persie nyata tidak kisah dengan hubungan dingin dengan anak sulungnya itu. Bagi penyerang berusia 29 tahun itu, peluang beraksi di United merupakan kesempatan yang hadir hanya sekali dalam hidupnya meskipun mengakui tertekan dan berat hati untuk menerima tawaran tersebut selepas 8 tahun bersama The Gunners.

This entry was posted in Coretan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply