[PIALA AFF] HARIMAU MENGANAS, GARUDA REBAH DI BUKIT JALIL

Skuad Harimau Malaya berjaya mengulangi skrip Piala Suzuki AFF 2010 apabila berjaya menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan Indonesia 2-0 disaksikan oleh 85,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam. Meskipun dimalukan Singapura 0-3 dalam perlawanan pertama namun Malaysia berjaya bangkit dan menduduki tempat kedua kumpulan B tetapi bakal menghadapi laluan penuh ranjau berhadapan pasukan pilihan, Thailand di separuh akhir nanti.

Skuad negara bermula tempang tanpa khidmat dua pemain utama yang mengalami kecederaan, S.Kunalan dan Kyrill Muhymeen. Pengendali kebangsaan, K. Rajagopal menurunkan Farizal Marlias selaku benteng terakhir Harimau Malaya. Aidil Zafuan dan Fadhli Shas kekal menerajui pertahanan negara dengan dibantu oleh Mahali Jasuli dan Zubir Azmi selaku bek kanan dan bek kiri.

Shakir Shaari pula terus diberi kepercayaan selaku defensive midfielder bergandingan dengan Safiq Rahim yang bertindak sebagai central midfielder. Manakala pemain muda terbaik Liga S, Wan Zack Haikal dan penyerang Pahang, Azamuddin Akil pulang merencana serangan dari bahagian sayap sementara Norshahrul Idlan Talaha bertindak sebagai advance foward dan Safee Sali kekal selaku targetman.

Jurulatih Indonesia, Nil Maizar kembali mempertaruhkan Wahyu Tri Nugroho selaku penjaga gawang. Barisan pertahanan Garuda dikemudi oleh Fachruddin Wahyudi Aryanto dan Nopendi dengan Raphael Maitimo dan Novan Setya selaku bek kanan dan bek kiri. Vendry Ronaldo Mofu pula bertindak selaku defensive midfielder sementara Muhammad Taufiq memainkan peranan selaku central midfielder. Elie Aiboy dan Oktovianus Maniani berperanan mengerakan serangan di bahagian sayap kanan dan kiri. Irfan Bachdim dan Samsul Arif bergandingan mengempur gawang Malaysia.

Indonesia bermula garang menguasai 10 minit pertama perlawanan yang dibasahi hujan mengasak benteng Malaysia bertali arus. Rembatan Vendry pada minit ke-3 berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol negara manakala percubaan Samsul Arif seminit kemudian gagal menemui sasaran. Perancang Indonesia, Taufiq turut melakukan percubaan menerusi sepakan percuma namun diselamatkan oleh Farizal Marlias pada minit ke-12.

Farizal Marlis terus cemerlang menafikan percubaan Irfan Bachdim selepas menerima hantaran cantik daripada Elie Aiboy pada minit ke-18. Harimau Malaya kembali mendapat rentak perlawanan dan mula melancar serangan terutama menerusi Norshahrul Idlan dan Wan Zack Haikal. Bermula daripada hantaran lintang Mahali Jasuli pada minit ke-27 pantas disambar oleh Azamuddin Akil menewaskan penjaga gol Indonesia, Wahyu Tri Nugroho untuk Malaysia mendahului 1-0 dihadapan.

Tiga minit berselang, Malaysia terus selesa apabila gerakan Wan Zack Haikal berjaya membuka ruang buat Mahali Jasuli untuk meledak gol ke-2 menerusi satu rembatan kencang dalam kotak penalti.

Ketinggalan 2-0, Nil Maizal merombak jentera serangan dengan memasukan Andik Vermansyah yang digelar Messi Indonesia bagi mengantikan Elie Aiboy pada minit ke-35. Malaysia turut melakukan pertukaran dengan memasukkan Gary Steven Robbat pada minit ke-40 mengantikan Shakir Saari yang tercedera.

Kemasukan Andik berjaya mengucar kacirkan pertahanan Malaysia dengan berjaya melakukan gerakan-gerakan lincah terutama di sebelah kiri pertahanan Malaysia. Percubaan Andik pada minit ke-8 berjaya dinafikan oleh Farizal pada minit ke-48. Tandukan Safee Sali pada minit ke-51 selepas menerima hantaran daripada Zubir Zami namun gagal menemui sasaran.

Indonesia tidak mudah mengalah dengan membawa masuk dua penyerang naturalisasi, Tonnie Cusell dan Jhonny van Beukering mengantikan Oktovianus dan Samsul Arif dalam usaha untuk memburu gol. Datuk K.Rajagopal turut memasukan Fakri Saarani mengantikan Azamuddin Akil manakala Amar Rohaidan mengantikan Norshahrul Idlan yang tercedera pada minit ke-66.

Safee Sali sekali lagi memperoleh peluang menerusi rembatan kaki kiri namun gagal menemui sentuhan gol. Indonesia terus mencemaskan gawang Malaysia dengan serang bertali arus namun gagal membolosi benteng Harimau Malaya. Sepakan percubaan Indonesia pada minit ke-80 pula gagal diterjemahkan kepada gol oleh penyerang Sang Garuda.

Meskipun Indonesia cuba untuk memburu gol namun kedudukan ini kekal hingga tamat perlawanan. Malaysia terlepas peluang untuk menjadi juara kumpulan B apabila Singapura berjaya menundukan Laos 4-3 dalam perlawanan yang nerlangsung di Stadium Shah Alam. Di separuh akhir, Malaysia bakal berhadapan dengan pasukan pilihan Thailand pada 9 dan 13 Disember nanti.

This entry was posted in Perlawanan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply