[PERSPEKTIF] JACK WILSHERE MILIKI POTENSI LUAR BIASA – CAZORLA

Santi Cazorla gembira dengan persembahan mantap yang dipamerkan oleh Jack Wilshere dan percaya rakan sepasukannya itu memiliki kemampuan untuk menjadi pemain berkelas dunia suatu hari nanti. Pemain muda England ini kembali beraksi pada Oktober lalu selepas disisihkan lebih 14 bulan kerana kecederaan lutut dan buku lali namun berjaya mendapat kembali tahap kecergasannya.

Bekas playmaker Malaga ini menyertai Arsenal pada Ogos lalu dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £15.1 juta mengakui dirinya tidak banyak mengetahui mengenai Wilshere sejak menyertai kelab ini namun kini dia mengakui bahawa pemain berusia 20 tahun itu memiliki pengaruh yang besar dan sangat penting di bahagian jentera tengah The Gunners.

“Dia (Wilshere) memiliki potensi yang luar biasa,” kata Cazorla kepada Arsenal Player.

“Saya sememangnya tidak banyak mengetahui mengenai dia sejak tiba di sini kerana dia tidak menyertai sesi latihan lantaran belum pulih dari kecederaan.”

“Tetapi semua orang di sini berbicara mengenainya dan berkata bahawa kepulangannya akan membantu meningkatkan prestasi skuad dan itu yang sedang berlaku.”

“Setiap hari dia mendapat lebih keyakinan dan dia semakin melupakan kecederaan serius yang pernah dialaminya. Dan dia merupakan key player yang membantu mempengaruhi keputusan perlawanan. Kami sangat gembira melihat dia sudah mencapai tahap kecergasan 100%.”

“Dia (Wilshere) berehat panjang dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Sangat sukar untuk kembali pulih terutama dari kecederaan panjang.”

“Anda akan dihimpit dengan ketakutan sehingga anda kembali mendapat kembali keyakinan diri dan beraksi pada prestasi asal tetapi dia berjaya melakukannnya dengan cepat sekali.”

Santi Cazorla turut mengakui Arsenal kini kembali di landasan terbaik dengan memiliki gandingan tengah yang mantap lantaran kepulang seorang lagi pemain tengah, Tomas Rosicky.

Kapten skuad kebangsaan Republik Czech berusia 32 tahun itu terpaksa disisihkan sejak Jun lalu selepas mengalami kecederaan tendon (archilles) dan mula diturunkan pada awal bulan ini.

“Saya rasa (Tomas) Rosicky merupakan pemain yang hebat dan kini saya sudah mula bermain bersamanya kerana dia baru pulih dari kecederaan. Bagi saya, dia merupakan seorang pemain yang memiliki gaya permainan Sepanyol,” kata Santi Cazorla.

“Dia (Rosicky) merupakan rakan sepasukan yang bagus dan sering mengisi posisi semasa kami beraksi. Kami sering memahami antara satu sama lain sama seperti yang kami lakukan semasa sesi latihan.”

“Saya berharap dapat menikmati saat-saat indah dan mengembirakan di atas padang bersamanya (Rosicky),” kata pemain tengah Arsenal berusia 28 tahun itu lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply