[PERSPEKTIF] WANG BUKAN PENYELESAIAN MASALAH – WENGER

The Gunners terus dirundung malang selepas tumpas 0-2 kepada Swansea di laman sendiri hujung minggu lalu menyaksikan Arsenal kini menduduki kedudukan ke-10 liga selepas 15 perlawanan setakat ini. Kekecewaan penyokong-penyokong Arsenal tidak dapat dibendung lagi dengan Arsene Wenger kembali dihujani kritikan demi kritikan ekoran prestasi yang tidak konsisten musim ini.

Kedengaran suara-suara yang mahukan Arsene Wenger digantikan dengan pengurus baru dan ada juga yang mahukan Arsenal mengeluarkan perbelanjaan besar bagi menandatangani pemain-pemain berkelas dunia pada jendela perpindahan Januari nanti. Namun, pengurus berusia 63 tahun ini menegaskan bahawa wang bukanlah kunci penyelesaian masalah.

“Kita perlu melihat masalah dari dalam bukannya memerhati dari luar,” kata Arsene Wenger.

“Ketika ini, situasi kurang mengembirakan di kalangan penyokong-penyokong Arsenal di mana mereka tidak memiliki keyakinan bahawa The Gunners mampu memenangi perlawanan. Adakah ini akan menganggu persembahan kami? Saya tidak pasti.”

Arsenal kini dilaporkan semakin hampir untuk menandatangani penyerang muda Crystal Palace, Wilfried Zaha dengan bayaran dianggarkan bernilai £20 juta. Terbaru, Arsenal turut dikaitkan dengan pemain tengah veteran England, Frank Lampard dan penjaga gol Liverpool, Pepe Reina selain Klass-Jan Huntelaar. Namun, Wenger mahu melupakan seketika mengenai isu perpindahan pemain dan mahu fokus dengan perlawanan akan datang.

“Sehingga Januari nanti kami bakal mengharungi beberapa perlawanan penting. Kami akan memutuskan mengenainya (perpindahan) pada Januari nanti dan kami perlu mencari penyelesaian sebelum Januari nanti,” kata pengurus berbangsa Perancis itu.

“Saya mahu membuatkan penyokong Arsenal gembira tetapi mereka tidak dipengaruhi dengan cara pendekatan saya dan saya rasa kami perlu fokus dengan tugasan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.”

“Ketika ini, kami juga tidak berpuas hati dengan kualiti persembahan kami. Anda boleh lihat keputusan-keputusan sukar sebelum ini di mana semua orang sudah menghabiskan masa dan wang untuk pasukan ini.”

“Kami mahu kekal fokus, menyemarakan keinginan dan cita-cita samada ia berkesan pada musim ini. Kita tidak boleh membuat kesimpulan dalam 1-2 perlawanan,” kata Arsene Wenger lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply