[PERPINDAHAN] KEVIN STROOTMAN PENGANTI IDEAL ALEX SONG?

Kepincangan di bahagian tengah Arsenal selepas pemergian Alex Song yang menyertai Barcelona pada Ogos lalu menyaksikan The Gunners gagal mempamerkan persembahan yang konsisten musim ini. Kecederaan paha yang dialami oleh Abou Diaby yang terpaksa diketepikan hampir 2 bulan memburukan lagi keadaan. Skuad bimbingan Arsene Wenger kini menduduki kedudukan ke-10 liga meraih 21 mata daripada 15 perlawanan.

Lantaran itu, Arsenal sedang memantau perkembangan pemain tengah Belanda, Kevin Strootman yang kini beraksi bersama kelab gergasi Eredivisie Belanda, PSV Eindhoven. Ketua peninjau Arsenal, Steve Rowley telah diterbangkan ke Belanda untuk meneliti secara lebih dekat serta menyedia laporan terperinci mengenai potensi yang dimiliki oleh Strootman menjelang pertemuan Ajax Armsterdam-PSV Eindhoven.

Pemain kelahiran Ridderkerk, Belanda dilihat calon terbaik bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Alex Song lantaran Strootman merupakan seorang box-to-box midfielder yang cemerlang bersama The Oranje. Selain itu, pemain berketinggian 1.86m ini juga merupakan seorang pemain holding midfielder atau deep lying playmaker.

Di sebalik peranan yang lebih bertahan dan banyak bertindak di bahagian tengah padang, Strootman memiliki sentuhan penyudah yang berkesan dengan menjaringkan 5 gol daripada 9 perlawanan bersama PSV Eindhoven dalam saingan Eredivisie Belanda 2012/13 setakat ini.

Kehadiran Kevin Strootman dilihat mampu mengurangkan tekanan yang ditanggung oleh Santi Cazorla dan Mikel Arteta di bahagian tengah The Gunners di samping membantu mengukuhkan bahagian pertahanan Arsenal.

Meskipun baru berusia 22 tahun, Strootman sudah melakukan 15 penampilan bersama skuad kebangsaan Belanda dengan menjaringkan 1 gol setakat ini. Kevin Strootman mendapat debutnya bersama The Oranje dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Austria pada 9 Februari 2011 apabila masuk mengantikan Theo Janssen. Arsene Wenger dilihat terdesak untuk mengukuhkan bahagian tengah bertahan The Gunners.

“Kami (Arsenal) perlu memperbaiki rekod bertahan kami dengan baik, Kami perlu menjaringkan banyak goal dan kami perlu menambah pemain,” kata pengurus Arsenal itu.

Namun, Arsenal perlu menyediakan dana yang agak besar dianggarkan berjumlah £20 juta jika benar-benar mahu mendapatkan mendapatkan khidmat pemain muda berbakat itu. Selain Arsenal, beberapa kelab-kelab gergasi Eropah termasuk Manchester United, Tottenham Hotspurs, dan AC Milan turut mengintai khidmat pemain tengan PSV Eindhoven itu.

This entry was posted in Perpindahan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply