[LIGA MALAYSIA] PERAK JULANG PIALA EMAS RAJA-RAJA 2012

Penantian Perak selama 22 tahun untuk menjulang Piala Emas Raja-Raja bagi edisi ke-72 berakhir apabila menewaskan Kedah dalam perlawanan akhir di Stadium Perak, Ipoh malam semalam. Dua jaringan kemenangan skuad Seladang menerusi Hamizul Izaidi dan pemain gantian, Khairul Asyraf pada minit ke-25 dan 30 masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam 90 minit perlawanan sebenar.

Kejayaan di Ipoh itu menjadi catatan ke-5 Perak muncul johan piala tersebut yang mana sebelum ini pernah menjuarainya pada tahun 1990, 1974, 1962 dan 1927. Kali terakhir skuad Kejor Yob Kejor ke final adalah pada tahun 1990 di mana mereka muncul juara setelah membelasah Kelantan 3-0. Pemilihan Perak selaku tuan rumah juga sempena memperingati perlawanan akhir 22 tahun lalu yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Perak berjaya mara ke pentas final menewaskan Selangor dengan aggregate 7-1 sementara Kedah pula mengenepikan cabaran Terangganu meskipun sekadar seri 1-1 dalam perlawaanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin. Meskipun skuad Kejor Yob Kejor turun selaku pasukan underdog namun berjaya mempamerkan persembahan mantap mengimbangi rentak permainan pasukan Kedah.

Perlawanan bermula baik dengan menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak sejak wisel permulaan hingga menyaksikan benteng pertahanan masing-masing terpaksa bekerja keras bagi mengekang asakan lawan. Skuad Kejor Yob Kejor hampir membuka jaringan pada minit ke-28 apabila sepakan percuma Haizal Faquan Sadarudin hanya sedikit melewati palang gol.

Perak yang mendapat sokongan padu daripada lebih 15,000 penyokong sekali lagi hampir menembusi pintu Kedah melalui cubaan berbahaya Hamizul Izaidi tetapi berjaya ditepis oleh penjaga gol Kedah, Mohd Sheril Anuar Saini pada minit ke-31. Kedah turut mengancam kubu tuan rumah namun percubaan penyerang Kedah sekadar menggegar palang gol menyaksikan kedua-dua pasukat terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, Mohd Haizal Faquan Sadarudin hampir menjaringkan gol namun Mohd Sheril Anuar bijak melayangkan badan bagi menyelamatkan pintu golnya daripada dibolosi. Kedah kembali mengatur asakan dan hampir menjaringkan gol namun tandukan kaptennya, Mohamad Rozaidi Abdul Rahim menggegar palang gol pada minit ke-59, sebelum rembatan penyerang lincah Seladang, Mohd Failee Ghazli dua minit kemudian hanya sedikit tersasar.

Pada minit ke-86, Perak sekali lagi hampir menjaringkan gol, namun rembatan pemain gantian, Hafiz Ramdan ditepis keluar selain beberapa gerakan susulan selepas itu sekadar berlegar di tengah padang untuk perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan. Kedudukan 0-0 kekal hingga tamat 90 sekaligus terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan.

Sekembalinya dari rehat, penjaga gol Kedah sekali lagi cemerlang menepis cubaan berbahaya yang dilakukan oleh Mohd Hafiz Ramdan pada minit ke-93. Stadium Perak akhirnya gempita apabila tandukan yang dilakukan oleh Hamizul Izaidi pada minit ke-115 gagal diselamatkan oleh Mohd Sheril bagi gol pertama Perak. Jaringan tersebut bermula daripada sepakan bebas yang dilakukan oleh Mohd Hafiz yang disambut baik oleh Hamizul Izaidi.

Akhirnya Perak meranap impian Kedah untuk menjuarai piala tersebut bagi kali ketujuh apabila pemain gantian, Khairul Asyraf menyumbat gol kedua pada minit ke-120. Khairul Asyraf yang mendapat bola dari tengah padang terus melakukan larian solo dan merembat ke penjuru kiri pintu gol Kedah.

Sebelum ini, Kedah muncul juara pada tahun 1948, 1949, 1952, 1953, 1996 dan 2005. Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tuanku Hamid Thani berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Selaku juara, Perak merangkul hadiah wang tunai RM40,000 sementara naib juara, Kedah menerima RM20,000 sebagai habuan. Kejohanan ini dianjurkan oleh Persatuan Bola Melayu Malaysia (PBMM).

Incoming search terms:

  • berapa kali perak menjulang piala emas raja raja
This entry was posted in Liga Malaysia and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply