[HOKI] MALAYSIA KECEWAKAN AFRIKA SELATAN DI SUKU AKHIR

Malaysia meneruskan rentak kemenangan dalam Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina selepas membenam negara kelahiran Revington, Afrika Selatan 4-1 untuk mara ke separuh akhir menentang Korea Selatan awal pagi Ahad (waktu Malaysia). Kehadiran Paul Revington yang mula membimbing skuad hoki negara pada 31 Ogos lalu mulai mempamerkan sentuhan ajaibnya apabila membantu Malaysia mengekalkan rentak kemenangan dalam 4 perlawanan berturut-turut.

Pertembungan dijangka sengit antara kedua-dua pasukan lantaran ketua jurulatih Afrika Selatan, Gregg Clark yang sedikit memahami percaturan Revington yang pernah membawa Afrika Selatan ke Piala Dunia Hoki 2006 sebelum membimbing pasukan Republik Ireland pada 2009 hingga 2012. Sebaliknya, Malaysia berjaya memperolehi gol awal pertama perlawanan menerusi jaringan padang Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-3 perlawanan.

Malaysia pula turut mempersia-siakan peluang untuk mengandakan jaringan namun gagal memanfaatkan 3 pukulan sudut penalti yang diberikan.

Afrika Selatan nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-20 namun percubaan penyerang Afrika Selatan tidak cukup kuat untuk menewaskan penjaga gol negara, S. Kumar. Pertahanan Malaysia dan Afrika Selatan juga berjaya bertahan dengan baik menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga berakhir separuh masa pertama.

Sebaik perlawanan bersambung, Malaysia terus mengasak kubu Afrika Selatan dan berjaya menemui sentuhan penyudah menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Faizal Saari pada minit ke-38 dan Tengku Ahmad Tajuddin pada minit ke-56 sebelum Faizal menjaringkan gol kedua peribadinya seminit selepas itu. Afrika Selatan akhirnya memperolehi gol saguhati menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh skipper, Austin Smith pada minit ke-63.

Pengurus skuad hoki negara, George Koshy gembira dengan peningkatan yang dipamerkan oleh anak-anak buah Revington dan berharap agar Malaysia akan meneruskan kemaraan untuk ke perlawanan akhir nanti.

“Afrika Selatan merupakan pasukan yang kuat tetapi pemain-pemain negara bermain tanpa rasa takut,” kata George Koshy mengulas mengenai persembahan skuad negara.

“Kami berjaya mengejutkan mereka dengan mendahului di awal permainan dan gol itu memberi inspirasi buat pemain-pemain lain beraksi dengan baik.”

“Pemain-pemain mempamerkan peningkatan setap perlawanan dan saya gembira dengan persembahan dan sikap yang dipamerkan oleh mereka.”

“Mereka bermain dengan asas permainan yang baik serta semangat juang yang tinggi. Jurulatih (Revington) berjaya mengubah pasukan ini untuk menjuarai peringkat kumpulan selepas sebulan membentuk pasukan,” kata pengurus skuad hoki negara itu lagi.

This entry was posted in Hoki and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply