[PERSPEKTIF] HORMATI TETAPI WASPADA ANCAMAN ROBIN VAN PERSIE

Menjelang pertemuan penting Manchester United dengan Arsenal malam ini, Arsène Wenger mengesa agar penyokong-penyokong Arsenal menghormati Robin van Persie. Bekas penyerang prolifik The Gunners itu menyertai  Manchester United pada 15 Ogos lalu dengan yuran perpindahan bernilai £24 juta sekaligus menimbulkan kemarahan segelintir penyokong fanatik Arsenal.

Penyerang kelahiran Belanda itu merupakan penjaring ke-8 terbanyak Arsenal sepanjang zaman merekodkan 132 gol dalam 278 penampilan sejak menyertai Arsenal pada Januari 2004 dari kelab Eredivisie Belanda, Feyernood dengan bayaran perpindahan bernilai £2.75 juta. Robin van Persie turut dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Perdana Inggeris dan Pemain Terbaik PFA musim 2011/12.

“Saya tidak tahu (bagaimana penerimaan penyokong) tetapi saya berharap agar peminat-peminat menghormatinya sebagai pemain yang pernah beraksi selama 8 tahun (bersama Arsenal). Dan dia sudah memberikan yang terbaik,” kata pengurus Arsenal itu.

“Saya harap dia dihormati. Kami berkempen menentang semua jenis diskriminasi termasuk menghormati pemain.”

Dalam masa yang sama Arsene Wenger melaungkan amaran buat pemain-pemainnya terutama barisan pertahanan agar berwaspada dengan ancaman bekas penyerang Arsenal itu. Wenger mengakui Robin van Persie mampu melalukan sesuatu di luar jangkaan kerana dia memiliki sentuhan penyudah yang hebat.

“(Robin) van Persie memiliki kualiti yang hebat dan kami terpaksa melepaskannya. Saya memberitahu pertahanan saya supaya mengekang kepantasannya terutama dalam kotak penalti,” kata Arsene Wenger.

“Mereka (pertahanan Arsenal) sanagt memahami corak permainan dia kerana pernah berlatih bersama-sama. Tetapi dalam perlawanan situasi ini jelas berbeza bergantung kepada berapa pantas mereka dapat membaca perlawanan.”

“Saya tidak terkejut apabila dia berjaya dengan United setakat ini. Dia cemerlang, memiliki penyudah hebat. Saya berkata sebelum ini, seolah-olah pelik melihat dia menjaringkan gol untuk Manchester United, tapi inilah bola sepak. Kami membuat keputusan untuk menjual Robin, dia putuskan untuk menyertai United. Itu saja.”

“Meskipun United memiliki ramai pemain-pemain yang hebat tetapi dia merupakan ancaman utama kami. Dan dia merupakan antara penyerang paling berkesan dalam Liga Perdana Inggeris ketika ini,” kata Wenger lagi.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply